JOHOR BAHRU – Pembentangan kertas cadangan melibatkan kebajikan anak asuhan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) ke Kabinet dijangka pada minggu depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pembentangan itu sepatutnya dibuat minggu lalu tetapi terpaksa ditangguhkan.
Jelasnya, penangguhan itu kerana terdapat penambahan maklumat dan peningkatan jumlah anak asuhan GISBH yang diselamatkan dalam Ops Global.
“Proses tersebut perlukan penelitian sebelum kertas cadangan itu yang merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang dibentangkan.
“Kita perlu membuat perincian terhadap setiap individu yang diselamatkan serta apakah pelan disediakan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Persidangan Keterangkuman Pendidikan Awal Kanak-kanak di Hotel Doubletree, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Nancy dilaporkan berkata, pihaknya akan membawa kertas cadangan ke Kabinet minggu ini untuk dibincangkan bersama beberapa kementerian lain berhubung perancangan terhadap 572 kanak-kanak dan remaja di bawah asuhan GISBH.
Katanya, antara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet termasuk cadangan jangka pendek, sederhana dan panjang mengenai masa depan kanak-kanak berkenaan termasuk berkaitan pendidikan, keselamatan semua kanak-kanak terlibat dan kesan kepada mereka selepas ini.
Terdahulu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuka 11 rumah selamat untuk 572 mangsa yang diselamatkan dalam Op Global setakat ini.
Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) dilaporkan telah melaksanakan satu modul pembelajaran khas untuk kanak-kanak rumah amal GISBH yang sedang mendapat perlindungan pihak berkuasa.
Mengulas lanjut, Nancy berharap proses-proses berkenaan berjalan lancar sebelum pelan perancangan yang disediakan sebelum ini dapat dibentang ke Kabinet.
“Sekarang ini masih ramai lagi yang perlu melalui proses-proses tertentu termasuk melibatkan proses pengenalan identiti melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara, ada yang sudah berusia 20 tahun tapi mendakwa masih 16 tahun.
“Jadi, ia sedikit sebanyak menjadikan proses sementara terganggu, kita perlu sediakan pelan yang terangkum untuk membantu mereka ini,” katanya.- MalaysiaGazette