Fadhlina Sidek.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil serius laporan yang mengaitkan guru sebagai penjawat awam paling ramai memalsukan sijil cuti sakit (MC).

Menterinya, Fadhlina Sidek menyifatkan laporan media yang disiarkan baru-baru ini sebagai dakwaan yang tidak bertanggungjawab dan memberi persepsi negatif terhadap profesion keguruan.

Menurut beliau, lebih 400,000 orang guru di seluruh negara pada waktu ini menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan integriti.

“Isu ini tidak sepatutnya berbangkit. Tatakelola penjawat awam sentiasa diberi perhatian bagi memastikan prestasi perkhidmatan terbaik untuk masyarakat. Kementerian juga mempunyai peraturan yang jelas bagi menangani isu tatatertib penjawat awam,” katanya menerusi kenyataan.

Ujar Fadhlina, pemantauan dilakukan secara berterusan setiap peringkat dan penjawat awam yang terlibat dalam sebarang salah laku akan dikenakan tindakan.

Tambahnya, dalam masa yang sama, KPM juga melaksanakan pelbagai usaha untuk memelihara kesejahteraan warga pendidik termasuk menerusi tujuh langkah bagi menangani beban tugas guru seiring dengan penghargaan yang diberikan kerajaan.

“Kerajaan MADANI menghargai peranan penting guru membangunkan negara. Sebagai penghargaan kepada sumbangan guru, YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah mengumumkan pelarasan gaji penjawat
awam pada bulan Ogos lalu,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Fadhlina memberi jaminan akan terus memartabatkan profesion keguruan.

“Profesionalisme guru mendidik anak bangsa perlu disanjung tinggi oleh seluruh lapisan masyarakat,” tambah beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast