Ahmad Masrizal Muhammad

KUALA LUMPUR – DAP digesa menghentikan propaganda bahawa mereka berjaya membawa keluar pengundi Cina pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah.

Bekas Setiausaha Eksekutif BN, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, DAP perlu menerima hakikat bahawa parti itu belum mampu untuk meyakinkan BN dalam konteks memberi kemenangan dengan majoriti yang sepatutnya lebih besar.

“DAP perlu belajar bagaimana penggabungan politik yang sebenar boleh menjadi satu perkara yang penting dalam menentukan perubahan lanskap politik negara sebagaimana yang pernah berlaku sewaktu kemenangan BN (Datuk Seri Wee Jack Seng/MCA) pada PRK di Tanjung Piai dahulu.

“Daripada majoriti PH, 524 undi kepada BN sebanyak 15,086 undi. Pada masa itu semua parti utama seperti BN dan Pas, bergabung dengan seikhlasnya untuk melawan PH yang terdiri daripada Bersatu, PKR, DAP dan Amanah yang merupakan the government of the day,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Johor, Liew Ching Tong berkata, berdasarkan gerak kerja kempen Pakatan Harapan (PH) di PRK Mahkota, DAP dilihat berjaya menarik masyarakat Cina untuk keluar mengundi calon BN.

Malah katanya, pengundi Cina di DUN Mahkota yang kebanyakannya penyokong PH telah memberi sokongan padu kepada BN pada PRK berkenaan.

Mengulas mengenai itu, Ahmad Masrizal berkata, kenyataan Chin Tong adalah tidak benar kerana BN mempunyai parti komponen Cina iaitu MCA.

Katanya, berdasarkan kepada kenyataan Pengerusi Institut Strategik dan Analisis Dasar (INSAP), Datuk Dr Pamela Yong, terdapat kira-kira 4,000 orang ahli MCA di Mahkota dan MCA telah berjaya mengeluarkan hampir 70 peratus daripada jumlah ahli mereka.

“Ini adalah satu jumlah yang signifikan yang telah disumbangkan oleh MCA. Maknanya undi Cina yang diperolehi oleh Syed Hussin(BN) dalam PRK baru-baru ini tidak boleh diberikan kredit hanya semata-mata kepada DAP tetapi juga perlu diberikan kredit kepada MCA.

“Malah saya boleh mengatakan bahawa DAP sebenarnya tetap gagal dalam mengurus dan membawa pengundi Cina yang pasti majoritinya sewaktu PRN 2022 dahulu mengundi PH (11,445) untuk keluar mengundi BN sebagaimana yang sepatutnya,” katanya.

PAda 28 September lalu, BN mempertahankan kerusi DUN Mahkota apabila Syed Hussien yang mewakili kerajaan perpaduan memperoleh kemenangan dengan majoriti 20,648 undi, jauh meninggalkan pencabarnya daripada Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar yang meraih 7,347 undi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here