KUALA LUMPUR – Seramai empat orang rakyat Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Lubnan pada pagi ini.
Perkara berkenaan disahkan oleh Kementerian Luar Negeri menerusi kenyataan.
Katanya, seorang lagi rakyat Malaysia dijadualkan tiba pada petang hari yang sama.
“Kedutaan Besar Malaysia di Beirut telah memudahcara pelepasan mereka dari Beirut melalui pesawat komersial,” katanya.
Menurut kementerian itu, usaha sedang giat dijalankan untuk memastikan 16 lagi rakyat Malaysia yang masih berada di Lubnan akan berjaya dievakuasi dengan selamat.
“Kementerian komited sepenuhnya untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di Lubnan,” tambahnya.
Katanya lagi, Kedutaan Besar Malaysia di Beirut akan terus memantau keadaan dan menyediakan bantuan yang diperlukan. – MalaysiaGazette