Friday, November 22, 2024
Home Sukan Faisal raih minit perlawanan paling lama sejak serangan asid

Faisal raih minit perlawanan paling lama sejak serangan asid

Pemain Selangor FC, Mohd Faisal Halim

KUALA LUMPUR – Pemain sayap sensasi Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim atau Faisal Halim berbesar hati selepas membuat debut ketika membantu Gergasi Merah meraih kemenangan pertama dalam kempen Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2 (ACL2) 2024/25 semalam.

Pada aksi kedua Kumpulan H di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, Selangor menewaskan Dynamic Herb Cebu FC dari Filipina 1-0 dan Faisal dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-62.

Faisal berkata, dalam perlawanan itu, beliau mendapat minit perlawanan paling lama sejak kembali beraksi pada Ogos lepas selepas insiden serangan asid pada Mei yang hampir memusnahkan kariernya.

“Alhamdulillah tiga mata untuk pasukan di laman sendiri dalam saingan ACL2, ia bukan satu perlawanan yang mudah. Apa-apa pun saya dapat minit perlawanan paling lama, ini adalah perlawanan pertama saya dapat minit yang lama.

“Sekarang hampir lima bulan (sejak serangan asid), saya akan terus maju langkah demi langkah untuk dapatkan prestasi (terbaik). Bagi saya (prestasi sekarang) belum cukup lagi, belum sampai masa untuk saya berpuas hati.

“Saya masih di tahap untuk cari kembali prestasi,” kata kepada Bernama selepas perlawanan semalam.

Penjaring Gol Terbaik Piala Asia 2023 berusia 26 tahun itu mengakui puas dapat membuat penampilan di pentas kejohanan Asia setelah terlepas peluang bersama kelabnya sebelum ini, Terengganu FC pada musim lepas setelah berhijrah ke Selangor.

“Alhamdulillah kami bekerja keras untuk datang ke Asia, hari ini mimpi itu jadi kenyataan dapat bersama Selangor dan dapat merasai (saingan Asia). Tetapi ada banyak perlawanan lagi, kami perlu perbaiki apa yang kurang dan saya pun kena kerja keras,” katanya yang tidak diturunkan pada aksi pertama.

Dalam pada itu, Faisal berkata, saingan di ACL2 mampu mempercepat proses untuk beliau kembali mencapai prestasi terbaik.

“Intensiti tinggi, persaingan hebat, bukan satu perlawanan yang mudah, saya rasa bagus untuk saya sebenarnya. Kita bermain di tahap tinggi, saya mencari rentak dan mencari minit permainan dan akan maju langkah demi langkah,” katanya.

Selepas dua perlawanan, Selangor kini berada di kedudukan kedua dengan mengumpul empat mata, dua mata di belakang pendahulu Jeonbuk Hyundai Motors dari Korea Selatan sementara wakil Thailand Muangthong United ketiga (satu mata) dan Dynamic Herb Cebu tercorot tanpa sebarang mata.

Seterusnya skuad bimbingan Nidzam Jamil itu akan membuat perhitungan dengan Jeonbuk Hyundai Motors pada perlawanan ketiga kumpulan di Stadium MBPJ, 23 Oktober depan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast