Friday, October 4, 2024
Home Seni Hidup Filem Abang Adik wakili Malaysia ke Anugerah Akademi ke-97

Filem Abang Adik wakili Malaysia ke Anugerah Akademi ke-97

Filem terbitan More Entertainments Sdn. Bhd. ini menampilkan lakonan hebat Jack Tan dari Malaysia dan Kang Ren Wu dari Taiwan.
KUALA LUMPUR – Filem Abang Adik terus menerima pengiktirafan apabila secara rasminya dipilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa pada Anugerah Akademi ke-97 pada Mac 2025.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkata, pemilihan filem arahan sulung pengarah Jin Ong itu dibuat hasil beberapa siri penilaian Jawatankuasa Pemilihan Filem (JKPF) Finas yang terdiri daripada profesional dalam bidang perfileman dan pematuhan syarat-syarat penyertaan yang ditetapkan oleh pihak penganjur Anugerah Akademi.
“Filem terbitan More Entertainments Sdn. Bhd. ini menampilkan lakonan hebat Jack Tan dari Malaysia dan Kang Ren Wu dari Taiwan.

“Karya ini telah merangkul 19 anugerah antarabangsa – satu pencapaian yang membuktikan filem Malaysia mampu bersaing dan menyerlah di peringkat global,” menurutnya dalam kenyataan.

Antara pencapaian tertinggi Abang Adik ialah anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Asia New York (Uncaged Competition ke-22), dan merangkul Golden Mulberry, Black Dragon Critics’ Award serta White Mulberry Award untuk Filem Cereka Terbaik di Far East Film Festival ke-25 di Udine, Itali.
Selain itu, filem tersebut juga menerima pengiktirafan di Festival Filem Antarabangsa Fribourg ke-37, Switzerland dan Festival Filem First di China.
Filem Abang Adik turut mencatatkan kejayaan luar biasa di China dengan kutipan pawagam mencecah RM2.2 juta setakat 30 September lalu selepas sembilan hari tayangan.
“Filem ini mencipta fenomena pada 2023 dengan kutipan pecah panggung sebanyak RM14.6 juta di Taiwan dan RM1.55 juta di Hong Kong, menjadikannya filem Malaysia pertama yang mencatatkan rekod tayangan tertinggi,” tambah kenyataan itu.
Di peringkat tempatan, filem berkenaan telah mencatatkan kemenangan di Malaysia Global Golden Awards (MGGA) 2024 dengan meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
Tayangan di Malaysia pada Disember 2023 turut mencatatkan kutipan sebanyak RM5.7 juta, membuktikan sambutan yang memberangsangkan daripada penonton tempatan.
“Diharap perkembangan positif dalam penghasilan filem tempatan bernilai tinggi dapat diteruskan bagi memperkukuh industri perfileman negara di arena antarabangsa,” menurut Finas. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here