Ahli Majlis Tertinggi GPMS ketika menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur malam tadi.

KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) tidak bergolak seperti mana yang digembar-gemburkan sesetengah pihak, kata presidennya, Muhd Fazreen Ismadi Fauzi.

Malah menurut beliau, mesyuarat Majlis Tertinggi GPMS yang berlangsung malam tadi membuktikan pertubuhan itu tidak membelakangkan saranan Pendaftar Pertubuhan Belia Malaysia (ROY).

Menerusi mesyuarat itu, beberapa perkara dibincangkan antaranya berkenaan gerak kerja GPMS dan berhubung Persidangan Agung Tahunan (PAT) GPMS yang bakal diadakan di Pahang pada tahun ini.

Tambah beliau, mesyuarat itu turut membincangkan saranan ROY supaya mengadakan Pemilihan Jawatankuasa Majlis Tertinggi GPMS pada Persidangan Agung Tahunan kali ini selain permintaan Persidangan Agung Khas (PAK) GPMS daripada GPMS negeri-negeri.

Ujarnya, mesyuarat malam tadi juga memutuskan supaya GPMS terus berpegang teguh dengan Perlembagaan GPMS dan tidak akan sama sekali membelakangi saranan daripada pihak ROY.

“Fasal 15.1 Perlembagaan GPMS memperuntukkan  tempoh pegangan jawatan Majlis Tertinggi GPMS adalah selama tiga tahun dari tarikh pemilihan.

“Dengan itu, Pejabat Setiausaha Agung GPMS dalam masa terdekat akan sentiasa merujuk kepada ROY untuk mendapatkan nasihat dan saranan dalam proses GPMS mengadakan PAT atau PAK dalam masa terdekat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Muhd Fazreen Ismadi, GPMS sentiasa bertekad untuk meneruskan agenda memperkasakan pendidikan anak-anak Melayu selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

Sebelum ini, tular di Facebook yang mendakwa Ahli Majlis Tertinggi GPMS memutuskan tiada pemilihan seperti yang diarahkan pihak ROY sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahlinya.

Arahan ROY itu merujuk kepada surat yang dihantar bertarikh 16 Julai dan 15 Ogos lalu yang mengesyorkan supaya GPMS mengadakan pemilihan majlis tertinggi sebelum 16 September lalu.

Isu pemilihan itu menarik perhatian beberapa pihak antaranya bekas Presiden GPMS ke-22, Jais Abdul Karim yang dilaporkan berkata, sebagai sebuah organisasi yang berteraskan pendidikan dan memperjuangkan nasib anak-anak Melayu, GPMS seharusnya menunjukkan contoh kepimpinan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here