KUALA LUMPUR – Reformasi Pendidikan di bawah Kerajaan Madani sepatutnya menjadikan semua sekolah harian berkualiti, sekali gus mengelakkan perebutan untuk mendapatkan subsidi ke asrama penuh, kata Pakar Pendidikan, Dr. Anuar Ahmad.
Jelas Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkenaan, sekolah harian berkualiti itu adalah sekolah yang cukup dengan segala kemudahan pembelajaran, guru profesional dan mahir, cukup internet dan gajet serta tidak sesak murid.
Katanya, jika semua sekolah harian di negara ini sebaik sekolah asrama penuh, maka isu subsidi pendidikan dan kuota pendidikan ke asrama penuh tidak akan timbul.
Begitu juga, tambah beliau, jika semua aliran Tingkatan Enam sebaik program matrikulasi, maka isu kuota untuk ke matrikulasi juga tidak akan berbangkit.
“Sebab itu, fokus kita sepatutnya lebih jelas. Fokus kita ialah berbincang dan menggesa kerajaan supaya meningkatkan kualiti sekolah-sekolah harian. Bukan terperangkap untuk sekadar ‘berebut’ subsidi asrama penuh.
“Kita sepatutnya membesarkan ‘kek’ peluang pendidikan berkualiti, bukan sekadar hanya berebut ‘kek’ peluang pendidikan yang kecil (subsidi).
“Ibu bapa negara maju tak ada isu seperti ini kerana sekolah sebelah rumah mereka pun dah berkualiti. Di sana, hampir sama sahaja kualiti sekolah di seluruh negara. Kita?” tulisnya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Anuar, sekiranya semua sekolah harian di negara ini berkualiti, maka tiada lagi keperluan untuk menubuhkan lebih banyak sekolah berasrama penuh.
“Sekolah asrama penuh akan ‘memisahkan’ anak-anak dari keluarga mereka pada usia yang masih muda. Kehidupan anak-anak sepatutnya bersama keluarga. Itu fitrah,” katanya.
Ketika ini, wujud perdebatan dalam khalayak ramai berhubung subsidi pendidikan susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membayangkan kerajaan mungkin menghentikan subsidi membiayai pendidikan anak golongan kaya di sekolah awam terbaik negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, dana berkenaan sepatutnya boleh diagih kepada golongan miskin dan menyifatkan tindakan membiarkan ketirisan subsidi besar seperti itu berterusan sebagai tindakan tidak adil.
Bagaimanapun, kenyataan Perdana Menteri berkenaan turut disanggah beberapa pihak yang beranggapan dana pendidikan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan dan tidak wajar dilihat seolah-olah satu beban. – MalaysiaGazette