KUALA LUMPUR – Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman memulakan siasatan terhadap kes kematian mengejut orang dalam tahanan polis di lokap di Pekan, Pahang dalam insiden yang berlaku pada 4 Mei lalu.
Pengarahnya, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, ia merujuk kepada kenyataan media bekas wakil rakyat, Mohamed Hanipa Maidin dalam sebuah portal berita tempatan bertarikh 3 Oktober 2024.
Menurutnya, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), JIPS Bukit Aman telah pun menjalankan siasatan berkaitan satu laporan polis kes kematian dalam tahanan polis pada 4 Mei lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati pada 1 Mei lepas, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan telah menahan seorang lelaki tempatan berumur 25 tahun dipercayai menunggang motosikal curi.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan ujian saringan air kencing turut dilaksanakan ke atas suspek sebelum mendapati suspek positif dadah jenis morfin.
“Kemudian siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama tiga hari mulai 2 hingga 4 Mei 2024 di lokap IPD Pekan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun pada 4 Mei lalu, orang kena tahan (OKT) itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan daripada Hospital Pekan.
Malah Azri berrkata, proses bedah siasat telah dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan pada hari sama dan hasil keputusan bedah siasat mendapati punca kematian adalah gantung diri.
“Setakat ini, kes telah diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan USJKT, JIPS Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner,” katanya.
Kes ini juga telah dirujuk ke Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) pada 4 Mei lalu (dalam tempoh 24 jam) selaras dengan kehendak Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (Akta 839) dan seterusnya pada 7 Mei lalu (dalam tempoh tujuh hari) serta laporan berkala untuk pemantauan dan perkembangan siasatan. – MalaysiaGazette