Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR- Mangsa banjir boleh menggantikan dokumen pengenalan diri seperti MyKad atau sijil lahir yang rosak atau hilang akibat bencana itu tanpa dikenakan denda.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihatkan semua mangsa banjir yang terlibat, segera untuk datang ke pejabat JPN untuk membuat penggantian selepas banjir surut.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk membantu mangsa banjir.

“Kalau mangsa banjir tidak sempat menyelamatkan dokumen pengenalan diri seperti sijil lahir atau MyKad (yang) hilang, rosak atau sebagainya, segera datang ke pejabat JPN untuk membuat penggantian selepas banjir selesai.

“Kalau ada yang terlibat (banjir) baru-baru ini, maklum (kepada pegawai terlibat) bahawa anda merupakan (antara) yang terlibat dengan banjir,” katanya menerusi video yang dimuat naik di akaun Facebook beliau hari ini.

Selain itu, beliau juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa lemas Salmah Mat Zain, 46, dan anaknya, Muhammad Rosman Rohaidi, 19, yang dihanyutkan arus deras semasa meredah banjir di Padang Terap, Kedah baru-baru ini. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here