Forum Kemahiran ASEAN (ASF) dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), hari ini bersama Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Human Resource Development Corporation (HRD Corp) buat julung kalinya telah menganjurkan Forum Kemahiran ASEAN (ASF) dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), hari ini.

ASF menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dari seluruh ASEAN, termasuk wakil-wakil daripada kerajaan, persekutuan majikan, kesatuan pekerja, dan rakan kongsi antarabangsa, untuk memudahkan perbincangan berkaitan industri selain peluang dalam pembangunan modal insan di rantau ini.

Lebih 200 delegasi dari 16 negara hadir, termasuk wakil-wakil dari Filipina, Thailand, Kemboja, Brunei, Indonesia, Vietnam, Singapura, India, dan Austria yang telah menumpukan perbincangan mengenai penyelarasan strategi pembangunan kemahiran di seluruh rantau ini.

Perbincangan ini sangat penting ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 dan mencadangkan Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025 yang dijangka bermula pada Januari tahun depan.

AYOS 2025 yang akan diterajui oleh KESUMA melalui HRD Corp, bertujuan untuk memacu pelbagai program dan aktiviti pembangunan kemahiran di seluruh rantau ini sepanjang tahun tersebut.

Ketika berucap di ASF hari ini, kata Menteri Kesuma, Steven Sim Chee Keong, sejak pertengahan abad ke-20, Malaysia telah menerima pelaburan daripada industri-industri berteknologi tinggi terkemuka dari seluruh dunia.

Antaranya kata Steven Sim, bermula dengan ‘Lapan Samurai di Pulau Pinang’ – Intel Corporation, Hewlett-Packard Robert Bosch, AMD, Litronix (kini ams OSRAM), Hitachi (kini Renesas), Clarion dan National Semiconductor.

Steven Sim

“Hari ini, Malaysia menjadi tuan rumah kepada pemain-pemain teknologi global seperti Nvidia, Micron, Infineon, Geely, Rongsheng, Microsoft, Google, Bytedance, AWS dan banyak lagi dengan pelaburan melebihi RM30 bilion.

“Ini penting bagi Malaysia untuk bekerjasama dengan rakan-rakan ASEAN kita untuk menarik, membangunkan dan mengekalkan aliran bakat yang berkemahiran tinggi, dinamik dan pelbagai,” katanya ketika berucap hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood berkata, populasi lebih 690 juta dan jumlah tenaga kerja sebanyak 340 juta, ASEAN memegang kedudukan strategik dalam pasaran buruh global.

“Selain itu ASEAN juga mempunyai tenaga kerja ASEAN yang potensi untuk memacu pertumbuhan ekonomi serantau dan global, dengan syarat pembangunan kemahiran terus seiring dengan keperluan industri yang berkembang.

“Adalah penting bagi negara-negara anggota ASEAN untuk menangani cabaran utama yang menjejaskan pasaran buruh rantau ini, termasuk memformalkan sektor informal, pengangguran belia, ketidaksamaan jantina, penghijrahan tenaga kerja, perlindungan sosial, dan pembangunan kemahiran,” ujarnya.

Semasa forum tersebut, Steven Sim turut mengumumkan penambahbaikan penting kepada Matrik Kos Yang Dibenarkan (ACM), yang bertujuan untuk menetapkan asas bagi usaha pembangunan kemahiran Malaysia sendiri.

ACM ialah panduan untuk majikan berdaftar HRD Corp dan penyedia latihan mengenai kos yang boleh dituntut, tuntutan maksimum, dan kelayakan tuntutan bagi pelbagai jenis program latihan melalui levi pembangunan sumber manusia. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast