Toh Puan Na'imah (kanan) hadir bagi pendengaran permohonan pulang balik pasport secara kekal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 19 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan pemulangan sementara pasport Toh Puan Na’imah Abdul Khalid yang memohon untuk ke Jepun dan United Kingdom (UK) bagi tujuan kerja.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membenarkan permohonan isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin itu selepas pendakwaan tidak membantah permohonan tersebut.

Azura membenarkan pemulangan sementara pasport bermula hari ini sehingga 11 November depan.

Untuk makluman, sebelum ini, mahkamah pernah membenarkan pasport Na’imah dipulangkan sementara supaya beliau boleh hadir ke pameran Pameran Seni Antarabangsa, La Biennale di Venezia, Venice daripada 16 hingga 20 Julai ini atas kapasitinya sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah untuk Yayasan Ilham.

Sebelum ini, wanita itu pernah cuba mendapatkan pasport miliknya secara kekal di Mahkamah Tinggi pada bulan Mac lepas namun ditolak.

Pada awal tahun ini, Na’imah didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini kerana gagal mengisytiharkan 12 harta seperti yang dikehendaki oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Disember 2023.

Antara harta itu ialah Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd serta dua kenderaan mewah Mercedez Benz, kediaman di Pesiaran Bukit Tunku serta tanah dan bangunan berstatus pegangan bebas di Bukit Tunku, Pulau Pinang dan Taman Tun Dr Ismail. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here