Gambar hiasan

BATU PAHAT – Seorang pesara sebuah universiti awam diperdaya RM170,000 selepas melabur dalam skim pelaburan palsu akibat tertarik dengan pulangan lumayan yang dijanjikan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian bermula selepas lelaki warga emas itu menemui individu yang mendakwa mewakili Syarikat Kenaf Trading Global Sdn Bhd pada 8 Jun 2022.

“Melalui pertemuan itu mangsa yang berusia 60 tahun ditawarkan mengenai pelaburan berkaitan penanaman pokok kenaf yang akan menerima pulangan dividen sebanyak tiga peratus sebulan.

“Mangsa yang berminat dengan pulangan dividen dijanjikan itu seterusnya menandatangani beberapa dokumen perjanjian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, lelaki berkenaan kemudian melabur sebanyak RM200,000 dengan membuat pindahan ke dalam satu akaun bank syarikat secara berperingkat-peringkat.

Selang beberapa bulan kemudian ujarnya, mangsa menerima pulangan sebanyak RM30,000 namun bermula dari Januari 2023 hingga sekarang tiada sebarang keuntungan diberikan.

“Ini menyebabkannya merasakan ditipu oleh individu berkenaan selepas dua tahun membuat pelaburan,” katanya.

Susulan itu, Shahrulanuar berkata, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat akibat kerugian RM170,000 daripada pelaburan yang dilaburkannya.

Ujarnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan serta hendaklah dikenakan denda.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan promosi pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dan membuat semakan terlebih dahulu daripada pihak berkaitan sebelum melabur,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here