Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).

KUALA LUMPUR – Pihak pentadbiran universiti perlu memastikan setiap program yang dijalankan sepanjang minggu orientasi sentiasa mematuhi syariah dan menjaga batas-batas hubungan antara peserta lelaki dan perempuan.

Selain itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menerusi satu kenyataaan berkata, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan kerjasama semua kelab dan persatuan di kampus perlu berperanan sebagai tukang semak dan imbang jika terdapat program universiti yang melanggar piawaian syariah sebagai seorang Muslim.

Jelasnya, minggu orientasi seharusnya menjadi sebuah pengalaman yang berharga bagi setiap pelajar yang baru sahaja berjaya memasuki alam universiti.

“Namun kini, kelihatan kebanyakan minggu orientasi di sesetengah universiti telah mula dicemari dengan sesetengah program dan juga slot yang menunjukkan berlakunya perlanggaran moral dengan wujudnya aksi yang kurang sopan.

“Tambahan pula, sesetengah aksi ini telah dipaparkan secara atas talian di media sosial,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.

Sebelum ini, tular di laman sosial berkenaan video yang memaparkan adegan seolah-seolah beberapa fasilitator sedang bertengkar ketika minggu orientasi di sebuah universiti awam, namun kemudian didapati hanya sekadar gurauan (prank).

Bagaimanapun, tindakan fasilitator itu dikecam banyak pihak kerana dianggap keterlaluan dan tidak sesuai dengan budaya orientasi pelajar baharu di universiti awam, sehinggakan ada yang mendesak supaya minggu orientasi dihapuskan.

Ketika ditanya berkenaan perkara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir bagaimanapun berkata, tiada keperluan untuk menghentikan pelaksanaan minggu orientasi pelajar baharu di institusi pendidikan tinggi (IPT), namun kandungan program itu perlulah menepati objektif asal.

Tambah Zambry, pelaksanaan program itu masih relevan ketika ini kerana ia bertujuan mendedahkan mahasiswa kepada dunia baharu iaitu kehidupan di kampus dan berjauhan daripada keluarga.

Dalam pada itu, menerusi video yang dipaparkan menerusi aplikasi X hari ini, fasilitator yang terlibat dalam video tular terbabit memohon maaf dan mengakui kesilapan melakukan sesuatu yang mungkin tidak bersesuaian dengan minggu orientasi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here