Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) antara 10 individu yang dipercayai pengurusan tertinggi dibawa ke Mahkamah sebelum mendapatkan perintah sambung reman ketika di Mahkamah Majistret Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 25 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Dua puluh empat individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Datuk Nasiruddin Mohd Ali dilanjutkan tempoh reman selama tujuh hari lagi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pelanjutan reman itu adalah bagi meneruskan siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom).

“Permohonan sambung reman itu dikemukakan pasukan siasatan Bukit Aman selepas tempoh reman kesemua individu itu tamat hari ini.

“Reman kesemua individu terbabit dilanjutkan tujuh hari lagi  manakala isteri kepada seorang lagi pemimpin tertinggi GISBH dibenarkan direman sehingga esok lagi,” katanya.

Terdahulu, 24 individu termasuk pimpinan tertinggi syarikat itu telah direman dua kali, bagi membantu siasatan yang dijalankan di beberapa undang-undang yang diperuntukkan iaitu mengikut Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Atipsom 2007.

Razarudin dalam kenyataan berasingan pada Khamis mengesahkan bahawa secara keseluruhan sehingga kini seramai 93 ahli GISBH masih lagi direman polis manakala 34 individu lain masih ditahan dan disiasat di bawah SOSMA.

Beliau juga memaklumkan bahawa PDRM turut berjaya membekukan keseluruhan 206 akaun berkait GISBH bernilai lebih RM1.35 juta setakat ini.

Tindakan pembekuan itu membabitkan 205 akaun bank bernilai RM1.35 juta serta satu akaun bank bernilai USD1,344.26 (RM5,688.80)

Pembekuan akaun dan harta berkait GISBH diambil mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).

Turut dibekukan adalah pelbagai aset disyaki milik syarikat itu iaitu 31 buah kereta dan bas pelbagai guna serta 19 lot tanah, 19 buah kereta dan sebuah lori, wang tunai RM16,850, dua jam tangan jenama Amazfit dianggarkan bernilai RM600 serta pelbagai jenis haiwan dianggarkan bernilai RM230,000 turut di sita.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here