KOTA TINGGI – Gelap mata dengan keuntungan sehingga jutaaan ringgit mendorong seorang lelaki melabur dalam satu skim pelaburan namun diperdaya dan kerugian sebanyak RM124,000.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Yusof Othman berkata, menyedari ditipu, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 47 tahun membuat laporan polis di sini semalam.
Yusof memberitahu, semuanya bermula apabila mangsa melihat satu iklan skim pelaburan dikenali sebagai L-Trader dalam Facebook pada Mei lalu.
“Skim pelaburan tersebut menawarkan keuntungan lumayan sehingga mencecah jutaan ringgit. Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa melakukan 21 transaksi ke dalam tiga akaun penerima yang berbeza,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Yusof, pada peringkat awal mangsa mendapat keuntungan hasil menyertai skim pelaburan berkenaan sebanyak RM55,000.
Mangsa kemudian diyakinkan untuk membuat pelaburan tambahan sehingga jumlah pelaburan mencapai RM124,000.
Namun mangsa sedar dirinya ditipu selepas gagal mengeluarkan wang hasil keuntungannya melalui aplikasi L-Trader yang sudah mencecah RM9 juta.
“Modus operandi sindiket skim pelaburan ini adalah mangsa diberikan satu ID (kata laluan) bagi membolehkan mangsa memantau sendiri status serta pulangan pelaburan melalui aplikasi L-Trader.
“Dengan cara ini, mangsa berasa yakin dengan skim pelaburan ini kerana mangsa dapat memantau sendiri status pelaburannya,” katanya.
Tambah beliau, polis menyiasat kes tersebut bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pihaknya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap skim pelaburan yang tidah sah atau tidak berdaftar serta tidak terpedaya dengan skim pelaburan palsu menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.
Orang ramai katanya, boleh mendapatkan maklumat berkaitan modus operandi jenayah komersil terkini dengan mengikuti laman sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil seperti Facebook, Instagram dan TikTok. – MalaysiaGazette