kuasa politik
Mohd Zaidi Md Zain

KUALA LUMPUR – UMNO Selangor menafikan dakwaan bahawa Barisan Nasional (BN) negeri itu menuntut kuota lebih bagi Ahli Majlis dan jawatan Ketua Kampung seperti didakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau dikenali sebagai Altimet.

Sebaliknya, Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr. Mohd. Zaidi Md. Zain berkata, BN Selangor tidak pernah meminta kuota yang lebih setakat peratusan jumlah 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 kerusi DUN yang telah diberikan sewaktu memasuki Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu sebagai Kerajaan Perpaduan.

Malah, ujar beliau, apa yang ditawarkan oleh Pakatan Harapan (PH) selepas pembentukan Kerajaan Negeri Selangor juga jauh lebih rendah daripada kuota yang sepatutnya BN Selangor terima untuk jawatan Ahli Majlis dan Ketua Kampung.

“Namun BN Selangor tidak bising dan tidak berebut-rebut, bahkan secara baik menyerahkan kembali semua kerusi Ahli Majlis dan jawatan Ketua Kampung untuk diisi oleh PH sahaja.

“Pengerusi Barisan Nasional Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din dengan besar hati membuat pendirian tersebut setelah mendengar pendapat semua Ketua Bahagian dan Ketua Sayap Negeri demi tidak mengeruhkan hubungan dengan PH Selangor yang baru terjalin,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas sindiran Altimet terhadap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed semalam berkait isu pembentukan Kerajaan Perpaduan di Johor yang berterusan dituntut Parti Amanah Negara (Amanah) negeri itu.

Menerusi ciapan di media sosial X, Altimet berkata, situasi yang berlaku di Johor pernah BN lakukan di Selangor.

“Sebenarnya semua perangai yang @NurJazlan tuduh PH buat di Johor, BN dah buat di Selangor.

“Tanding 12 menang dua (kerusi) nak minta kuota ahli Majis lebih-lebih, minta semua jawatan ketua kampung,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Zaidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi berkata, sikap PH Johor yang menuntut ditubuhkan Kerajaan Perpaduan di negeri itu sama sekali tidak boleh dibuat perbandingan dengan apa yang berlaku di Selangor.

Ini kerana, jelas beliau, kemenangan besar BN dalam PRN Johor yang lepas bukan melalui kerjasama Kerajaan Perpaduan.

“Oleh itu, ingatan mesra saya kepada YB (Altimet), kena faham isu dan fakta sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan tohmahan dan fitnah,” katanya. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here