KUALA LUMPUR- Pecahkan pasu, baling selipar dan menjerit-jerit.
Itu antara kelakuan sekumpulan warga Palestin yang membuat kecoh di Wisma Transit Kuala Kuala Lumpur sehingga menyebabkan kerosakan di premis itu.
Dalam satu video tular di media sosial, kelihatan seorang wanita warga Palestin memakai tudung merah jambu mengamuk dengan bertindak menendang perhiasan di lobi wisma berkenaan.
Wanita tersebut kemudian bertindak di luar kawalan dengan membuat kecoh di hadapan Balai Pengawal Wisma Transit, ditemani oleh ahli keluarga dan beberapa rakan.
Difahamkan kejadian yang berlaku kira-kira 6.15 petang, 2 Oktober lalu tercetus apabila mereka tidak dibenarkan keluar untuk menginap di luar premis berkenaan atas faktor keselamatan.
Pasukan keselamatan yang cuba meredakan keadaan turut dibaling selipar oleh salah seorang warga Palestin tersebut.
Menurut sumber, wakil Kedutaan Palestin juga turut hadir serta cuba menyuraikan kekecohan tetapi tidak berjaya.
Insiden tersebut mendapat pelbagai reaksi warga net.
Pada 16 Ogos lalu, seramai 127 warga Palestin dan ahli keluarga tiba di Malaysia dengan menaiki dua pesawat A-400M TUDM.
Daripada jumlah itu, 40 daripadanya adalah pesakit akibat peperangan di Gaza yang datang untuk menerima rawatan di negara ini. -MalaysiaGazette