Razali merasmikan program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Pahang dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Daerah Temerloh di Taman Sri Semantan hari ini.

KUANTAN – Sebanyak 1,409 kes demam denggi dilaporkan bermula 1 Januari sehingga 28 September lalu berbanding 1,075 kes pada tempoh sama tahun 2023 dan ia meningkat sebanyak 334 kes atau 31 peratus.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, Kuantan merekodkan kes tertinggi iaitu 475 kes iaitu 33.7 peratus.

Ia diikuti daerah Temerloh (302 kes ,21.4%), Bera (125 kes, 8.9%), Raub (118 kes, 8.4%), Pekan (97 kes, 6.9%), Maran (91 kes, 6.5%), Bentong (69 kes, 4.9%), Rompin (69 kes, 4.9%), Lipis (35 kes, 2.5%), Jerantut (19 kes, 1.3%) dan Cameron Highlands (9 kes, 0.6%).

“Sehingga 28 September lalu terdapat 64 lokaliti wabak demam denggi dilaporkan di negeri Pahang, peningkatan sebanyak satu lokalit i(dua peratus) berbanding 63 lokaliti pada tahun 2023.

“Sebanyak 44 lokaliti wabak berlaku di Kuantan, sembilan di Temerloh, lima lokaliti di Pekan, empat di Bera danmasing-masing satu di Raub dan Rompin.

“Terkini sebanyak 61 lokaliti wabak telah tamat fasa kawalan dan pemantauan wabakdan hanya tiga lokaliti sahaja masih aktif iaitu di Taman LKNP Bukit Setongkol – Barat, Kuantan, Kampung Pandan 1, Kuantan dan Kampung Bukit Ubi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sehingga 21 September lalu, sebanyak 410,206 buah premis telah diperiksa dan 173,393 premis diletakkan bahan pembunuh jentik-jentik.

Tambah Razali, sehingga kini lima kes kematian akibat komplikasi demam denggi di Pahang berbanding satu kes bagi tempoh sama tahun 2023 dengan peningkatan sebanyak 400 peratus.

Sementara itu, Program Gotong-royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Pahang dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Daerah Temerloh diadakan di Taman Sri Semantan di Temerloh hari ini.

Lokasi berkenaan dipilih susulan kejadian wabak demam denggi yang bermula pada 26 Jun sehingga 21 Julai lalu dengan jumlah 15 kes demam denggi telah dilaporkan berlaku di Temerloh. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here