Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri (tengah) dalam sidang akhbar akhbar selepas menghadiri program Munaqasyah ucapan dasar Presiden Pas ke-70 peringkat negeri Selangor di Pusat Konvensyen Bangi, hari ini.

BANGI – Pas Selangor memberi jaminan penduduk bukan Islam tidak perlu mengubah cara hidup mereka sekiranya Perikatan Nasional (PN) mentadbir negeri itu atau Kerajaan Pusat pada pilihan raya umum akan datang.

Jelas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri, penduduk bukan Islam tidak seharusnya bimbang berhubung perkara itu memandangkan Pas menghormati hak kaum-kaum lain di negara ini.

Sehubungan itu, ujarnya, Pas akan terus memberi kefahaman kepada penduduk bukan Islam yang mana perjuangan parti itu juga adalah untuk menjaga kebajikan semua kaum.

“Rakyat bukan Islam jangan bimbang dengan Pas sebab ini jaminan kita, kita tak akan ganggu atau ubah cara hidup mereka, itu hak mereka.

“Kita akan pastikan Pas bersama PN hanya mahu menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Munaqasyah ucapan dasar Presiden Pas ke-70 peringkat negeri Selangor di Pusat Konvensyen Bangi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ab. Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras berkata, PN mensasarkan untuk merampas Selangor pada pilihan raya umum akan datang kerana beranggapan negeri tersebut berhak mendapat yang lebih baik.

Jelas beliau, Selangor meskipun sebuah negeri kaya, namun berdepan pelbagai isu antaranya kejadian banjir yang berlaku di sebahagian besar kawasan negeri itu seperti di Sungai Buloh; Selayang; Gombak dan banyak lagi.

“Sepatutnya masalah asas seperti banjir, sampah, longkang tersumbat seperti ini tidak menjadi isu sebab Selangor merupakan negeri maju.

“Sebab itu saya cakap rakyat Selangor sepatutnya dapat yang lebih baik,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu banjir, tambah beliau, Pas Selangor juga akan menghantar memorandum kepada Kerajaan Pusat supaya disegerakan program rancangan tebatan banjir termasuk di Sungai Buloh bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku ketika ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here