TANJUNG MALIM – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa mana-mana pihak yang terlibat dengan kesalahan penyelewengan wang negara untuk mengembalikannya kepada rakyat.
Tanpa menyebut atau menamakan individu secara jelas, Anwar berkata mereka seharusnya melakukan demikian sekiranya benar-benar menggelarkan diri sebagai pejuang bangsa.
Tegasnya, beliau juga kesal terhadap perkara yang itu dijadikan modal politik dengan menyebut ia tidak harus dilakukan kerana pihak terbabit pernah menabur jasa.
“Semua orang berjasa, ketua kampung , penghulu, tok imam. Tapi oleh kerana jasa itu, dia curi duit masjid, tak boleh. Dan mengapa seorang menteri kewangan fikirkan dia ada jasa, maka dia boleh curi berbilion ringgit.
“Kalau benar pemimpin-pemimpin Melayu yang rompak harta negara ini, yang ada kekayaan berbilion-bilion ringgit. Saya tanya dari dulu, betul kamu pejuang? ya. Saya salute. Betul kamu terus akan membela nasib Melayu? Ya. Saya salute.
“Saya kata kalau betul, berapa harta kamu sekarang? Satu billion, dua billion? Di mana? Di Malaysia, di Eropah, di England? Dan berapa bilion? Lima bilion?
“Alangkah baiknya sebagai seorang pejuang tulen, serahkan balik wang yang kamu curi itu pada rakyat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Syarahan Zainal Abidin Ahmad (Za’ba) dan Sambutan Hari Akademia Negara 2024 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah, dekat sini hari ini.
Antara turut hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Madani ketika ini serius dalam memastikan agenda untuk meningkatkan tata kelola dalam segenap lapisan pentadbiran negara dapat dilaksana.
Kata Anwar, ia bagi memastikan soal membasmi masalah kemiskinan rakyat tanpa ketirisan dapat dilakukan.
Tegas beliau lagi, Malaysia merupakan antara negara tertinggi di rantau Asia dalam membelanjakan wang untuk masalah itu iaitu, sebanyak RM22 bilion setahun.
Anwar berkata, masalah ketirisan dan salah guna kuasa harus dilaksanakan pelbagai pihak termasuk pimpinan kerajaan, jabatan kerajaan, universiti sehingga ke peringkat kepimpinan di kampung.
“Bayangkan kalau RM22 bilion satu tahun dan kita urus dengan baik, dah selesai masalah kemiskinan. Kerajaan silih berganti, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan partinya silih berganti tapi masalahnya masih berat.
“Sebab itu apabila kita ada kesempatan peluang, lakukan anjakan dan perubahan ini dengan tata kelola ini bermula dari atas.
“Apa hebatnya Menteri Kewangan selaku Perdana Menteri? Hebat Perdana Menteri boleh gunakan kedudukan kuasa, memperkayakan diri isteri anak-anak, (kalau dibiarkan) lingkup negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette