Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

KOTA KINABALU – Usaha pembangunan Sabah yang dilaksanakan antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan menjadi kayu pengukur penting untuk dinilai pada Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum akan datang, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli.

“Perkara ini insya-Allah akan dapat memberi pilihan yang baik kepada pengundi-pengundi dalam pilihan raya negeri akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah di sini hari ini.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata kerjasama antara parti adalah perkara yang terus dibincangkan dalam kerangka semangat Kerajaan Perpaduan.

“Cuma yang kami nak beri penekanan ialah khidmat kepada rakyat. Sementara kita mencari dan menguruskan perkongsian politik, perkara lebih penting ialah PKR sebagai sebuah parti mestilah paling ke depan dalam kita membela dan memberi khidmat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, mengenai kunjungan ke Sabah hari ini adalah bagi menghadiri Konvensyen Pemerkasaan Organisasi Parti 25 Tahun (POP25) serta Keadilan Menang Siri PRU16 (KEMAS16) peringkat negeri hari ini.

Beliau berkata konvensyen ini bertujuan menyusun semula tatacara kempen dan pergerakan cabang PKR di seluruh negara supaya ia dapat dijalankan dengan lebih berkesan terutama dalam mendekati rakyat.

“Dalam konteks Sabah, ia juga cukup sesuai kerana kita percaya Sabah akan mengadakan PRN lebih cepat berbanding negeri lain,” katanya. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here