IPOH – Aksi Liga Super membabitkan Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijadual berlangsung di Stadium Perak malam ini, ditunda sekali lagi ke tarikh baharu berikutan cuaca hujan.

Hujan berterusan menyebabkjan permukaan padang di Stadium Perak digenangi air ketika kedua-dua pasukan melakukan sesi pemanas badan walaupun padang dalam keadaan becak susulan hujan di bandar raya Ipoh sejak 6 petang tadi.

Perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 8.15 malam itu, ditangguh sebanyak dua kali kepada 8.45 malam dan seterusnya 9.15 malam oleh Komisioner Perlawanan Teoh Hee Loon.

Pada 9.50 malam, pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan perlawanan ditangguhkan atas faktor cuaca dan keadaan padang yang tidak mengizinkan, dan akan menetapkan tarikh baharu.

Keputusan itu juga menyaksikan Perak FC terlepas aksi terakhir bermain di Stadium Perak kerana selepas ini gelanggang tuan rumah aksi Liga Super berpindah ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bagi memberi laluan kerja menaik taraf stadium.

Pada 17 Ogos lepas, perlawanan bagi kedua-dua pasukan di Stadium Perak terpaksa ditunda disebabkan oleh masalah sama.- BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here