Insiden penutup simen DBKL terangkat ketika hujan lebat di Masjid India semalam.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjawab isu tular di media sosial TikTok yang memaparkan penutup simen di Jalan Masjid India terangkat berulang kali hingga mencetuskan kebimbangan orang awam dan pengunjung lokasi semalam.

Menurut kenyataan DBKL, penutup lurang atau manhole telah hilang berkemungkinan disebabkan isu vandalisma sehingga menyebabkan penutup simen atas terangkat.

“Pihak Indah Water Konsortium (IWK) telah selesai pasang manhole tersebut pada awal pagi 5 Oktober.

“DBKL menggesa orang ramai tidak sewenang-wenangnya menyiarkan kandungan yang boleh mencetuskan rasa panik dan kegelisahan awam dengan gunakan kesempatan atas insiden yang berlaku di Masjid India baru-baru ini,” katanya.

Berdasarkan video berdurasi 25 saat dimuat naik oleh pengguna TikTok, Lakshmi Karthick pada Khamis lalu, insiden itu terjadi di sekitar kawasan berlakunya tanah jerlus yang muncul secara tiba-tiba 23 Ogos lalu melibatkan pelancong warga India, Vijaya Laksmi Goli, 48 tahun.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Vijaya Laksmi yang hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus itu dihentikan selepas sembilan hari kerana tiada sebarang penemuan dikesan.

Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) ditutup sementara bagi memberi laluan kepada SAR mangsa lubang benam Jalan Masjid India dan pemeriksaan tanah sebelum ia dibuka kembali awal September lalu.

Menerusi video berkenaan, kawasan jalan tersebut dipenuhi dengan gerai jualan dan beberapa orang awam yang singgah ketika hujan renyai.

Difahamkan, keadaan penutup simen terbuka dan tertutup berulang kali itu dipercayai akibat tekanan bawah tanah yang terlalu tinggi kerana umum mengetahui ia amat berat, malah mustahil untuk terangkat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here