Pengerusi MITRA P Prabakaran bercakap kepada media selepas sesi libat urus pemohonan geran Pembangunan Sosioeknomi Masyarakat India (PPSMI) di Wisma Perwira hari ini.

KUALA LUMPUR – Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) memohon peningkatan peruntukan pemerkasaan dan pembangunan sosio ekonomi masyarakat India kepada RM300 juta daripada RM100 juta kerana jumlah yang diperuntukan itu tidak mencukupi.

Pengerusi MITRA merangkap Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran, dana tambahan yang dimohon itu akan digunakan untuk memperkasa golongan B40 dan miskin tegar dalam kalangan masyarakat India.

Menurutnya, permohonan tersebut akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ia merupakan antara cadangan bagi Belanjawan 2025.

“Komitmen Mitra selama ini untuk pelbagai program secara keseluruhan sudah memakan hampir separuh daripada peruntukan RM100 juta.

“Manakala baki RM50 juta itu tidak cukup untuk membawa perubahan atau transformasi dan meningkatkan ekuiti bagi komuniti India terutamanya dalam kalangan belia.

“Andai ada peruntukan besar seperti cadangan untuk kenaikan RM300 juta, maka kita dapat laksana lebih banyak program, inisiatif yang akhirnya bantu komuniti India secara keseluruhan,” katanya selepas sesi libat urus pemohonan geran Pembangunan Sosioeknomi Masyarakat India (PPSMI) di Wisma Perwira, di sini, hari ini.

Sementara itu, Prabakaran berkata, setakat tahun ini MITRA sudah menghabiskan kira-kira RM95.4 juta untuk melaksanakan 11 program.

“Baik kira-kira RM4.5 juta kita akan umum dalam masa terdekat kerana adanya kerjasama dengan Kementerian Pertanian. Selepas itu, kita boleh umum sudah menghabiskan sejumlah RM100 juta seperti diperuntukkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here