Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

GEORGE TOWN – Kementerian Komunikasi belum memutuskan mengenai pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) baharu.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, proses pelantikan itu masih berjalan.

“Tentang J-KOM kita belum putuskan lagi dan prosesnya masih berjalan..Jadi, saya serahkan kepada proses (tunggu selesai),” katanya ringkas ketika diminta mengulas pengganti Mohd Khairuddin Othman yang telah ditamatkan perkhidmatannnya pada 24 September lalu.

Sebelum itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Dr Mohd Khairuddin Othman mengesahkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) sudah ditamatkan.

Beliau yang dilantik ke jawatan itu sejak 1 Mac lalu memaklumkan sudah menerima surat penamatan jawatan itu pada 23 September lepas.

Dalam perkembangan lain, Fahmi menafikan dakwaan yang mengaitkan beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Anuar Fariz Fadzil.

Tegas beliau, abang serta adiknya masing-masing bekerja dengan syarikat pembuatan bahan kimia dan pemuzik tidak pernah menerima sebarang bantuan mahupun peruntukan di bawah kementeriannya.

“Anuar Fariz Fadzil tiada apa-apa kaitan dengan saya, nama sahaja sama, sepupu pun bukan. Bau-bau bacang pun tiada.

“Malah saya tiada kaitan dengan pelantikan itu.. MDEC merupakan agensi peneraju ekonomi digital negara dan ia bukan bawah kementerian saya.

“Semua cuba membuat fitnah, saya harap mereka sedarlah, jangan terlalu mudah untuk menabur fitnah dan ini adalah pengajaran untuk kita semua supaya sentiasa berwaspada dengan maklumat,” katanya.

Sebelum ini, Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil mempersoalkan latar belakang Anuar Fariz yang mengaitkan dengan Fahmi susulan tular di media sosial kononnya adik Fahmi dilantik sebagai CEO MDEC. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here