KUALA LUMPUR – Dakwaan berlaku kejadian buli membabitkan anak seorang penyanyi dan beberapa individu lain di sebuah sekolah berasrama penuh di sini akan disiasat.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, setakat ini pihaknya menerima lima laporan berhubung isu yang sama.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kita sudah merakam keterangan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media hari ini melaporkan seorang penyanyi berumur 51 tahun mendedahkan anak lelakinya berusia 14 tahun dibuli.
Penyanyi itu antara beberapa keluarga yang kesal dengan tindakan pihak sekolah yang didakwanya bukan sahaja tidak peka malah tiada tindakan terhadap masalah buli itu diambil. – MalaysiaGazette