Tujuh warga asing yang dipercayai suspek kes culik tiba untuk permohonan reman di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 04 OKTOBER 2024

KUALA LUMPUR -Mahkamah Majistret di sini menetapkan 24 Oktober depan bagi sebutan kes tujuh warga asing yang didakwa menculik rakan senegara mereka, 16 September lepas. 

Majistret Amira Abdul Aziz menetapkan tarikh itu selepas mendapati kesemua tertuduh yang merupakan warga India tidak memahami pertuduhan dan memerlukan jurubahasa.

Beliau juga tidak membenarkan jaminan sebaliknya memerintahkan semua tertuduh di hantar ke Penjara Sungai Buloh sehingga tarikh sebutan kes. 

Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Untuk rekod, kesemua tertuduh ditahan 18 September lalu selepas menjadikan seorang lelaki warga India yang juga rakan mereka sebagai tebusan susulan kegagalan mangsa membayar hutang kepada suspek.

Menurut pengadu yang juga rakan mangsa, dia telah menerima panggilan telefon daripada ibu mangsa di India memaklumkan, anaknya telah diculik.

Menurut wanita itu, anaknya telah diculik dan tertuduh meminta wang tebusan sebanyak RM20,000 sebelum mangsa boleh dibebaskan.

Bagaimanapun, selepas wang tebusan dibayar, tertuduh meminta mangsa untuk membeli tiket penerbangan kepada sepupunya.

Mangsa berjaya membeli tiket pesawat itu pada harga RM1,500 namun tertuduh tidak berpuas hati kerana hutang mangsa adalah RM3,000.

Tertuduh mendesak mangsa untuk melunaskan hutangnya sebanyak RM3,000 bagaimanapun lelaki tersebut tidak mempunyai wang lagi.

Pada 16 September lalu, tertuduh kemudiannya pergi ke rumah mangsa di Sentul dengan menaiki Grab dan membawa mangsa, isteri dan anaknya ke Ampang.

Sementara anak dan isteri dikurung di Ampang, tertuduh membawa mangsa keluar.

Tertuduh turut mengugut ibu mangsa di India sehingga wanita itu terpaksa memindahkan wang RM500 kepada akaun tertuduh.

Rakan mangsa yang mengetahui mengenai insiden ini membuat laporan polis pada 17 September. -MalaysiaGazette

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here