BATU PAHAT – Johor akan menetapkan sasaran baharu 200,000 ekor ternakan menjelang 2027 berbanding 170,000 ekor ternakan sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip yakin sasaran tersebut dapat dicapai berdasarkan bilangan terkini ternakan yang ada.
“Jumlah sasaran ternakan sebelum ini (170,000) mungkin akan tercapai pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan. Kita telah berbincang dengan Menteri Besar Johor untuk membuat sasaran baharu.
“Bagi mencapai sasaran baharu itu kita telah menjalankan pelbagai aktiviti dengan sokongan Jabatan Vaterinar dan pelbagai agensi lain termasuk daripada usahawan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pusat Sembelihan dan Pemprosesan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Medan serta Penyampaian Insentif Keterjaminan Makanan (Industri Penternakan Ruminan) Negeri Johor Kampung Seri Pasir, Sri Medan, di sini, hari ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi merasmikan pusat tersebut dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.
Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan RM850,000 untuk pembinaannya yang dijangka mampu melakukan proses penyembelihan antara lima hingga 30 ekor setiap hari.
Mengulas lanjut, Zahari berkata, tiga langkah yang dilakukan pihaknya untuk mencapai sasaran adalah dengan meminta penternak mendaftar dengan pihak Jabatan Veterinar.
Kedua katanya, membuat pemantauan dari masa ke semasa serta membantu keperluan para penternak.
“Langkah ketiga, kerajaan negeri akan membantu memberikan peruntukan khusus seperti sebelum ini penternak menerima bantuan baka lembu jantan dan betina yang baik,” katanya.
Terdahulu katanya, pihaknya telah membentangkan petunjuk prestasi utama (KPI) selama lima tahun (2022-2027) kepada Menteri Besar Johor dengan sasaran awal 170,000 ekor ternakan.
Pada majlis yang sama, Onn Hafiz dalam ucapannya, memberitahu, sejak 2022 hingga bulan ini kerajaan negeri memperuntukkan RM54 juta bagi membantu dalam keterjaminan makanan dan meningkatkan ekonomi serta bidang pertanian dan ruminan. – MalaysiaGazette