Gambar hiasan

KOTA TINGGI – Seorang lelaki berputih mata apabila kerugian RM224,000 selepas terpedaya dengan satu pelaburan tidak wujud bernama ‘Freezer’.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menerima laporan kejadian tersebut semalam.

“Mangsa yang merupakan warga tempatan berusia 57 tahun mengalami kerugian RM224,000 selepas tidak menerima komisen pulangan hasil pelaburan dalam Freezer seperti yang dijanjikan.

“Kejadian bermula pada Januari 2022 apabila mangsa melihat satu iklan skim pelaburan dikenali sebagai Freezer dalam aplikasi Whatsapp.

“Pada mulanya mangsa ditawarkan untuk membeli tiga unit freezer yang berharga RM11,000 seunit,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa katanya, melaburkan wang RM33,000 untuk membeli tiga unit freezer dan dijanjikan akan mendapat pulangan RM800 bagi setiap unit dalam tempoh 24 bulan.

Menurut beliau, selepas mangsa mendapat keuntungan pertama berjumlah RM85,600, mangsa membuat penambahan pelaburan secara berperingkat-peringkat hingga mencecah RM224,000.

Katanya, mangsa menyedari ditipu apabila tidak menerima komisen pulangan hasil pelaburan seperti yang dijanjikan setiap bulan berjumlah RM22,400 untuk 28 unit freezer yang dilaburnya.

“Mangsa memberitahu polis bahawa wang yang dilaburkannya itu adalah wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan wang simpanan peribadinya,” jelasnya.

Katanya, polis akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.

Pada masa sama, Yusof menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap skim pelaburan yang tidak sah atau tidak berdaftar serta tidak terpedaya dengan skim pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan yang lumayan dalam masa yang singkat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast