Ahmad Fadhli Shaari

BANGI – Tiada ahli atau pemimpin Pas yang terlibat dalam GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), kata Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari.

Jelas beliau, mereka yang dikesan terlibat merupakan ahli atau pemimpin Pas yang sudah keluar daripada parti itu sebelum ini.

“Ahli Pas tidak ada yang terlibat dengan GISBH, yang terlibat dengan GISBH ini yang sudah keluar daripada Pas,” katanya ringkas kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri program Munaqasyah ucapan dasar Presiden Pas ke-70 peringkat negeri Selangor di Pusat Konvensyen Bangi, di sini.

Ahmad Fadhli ditanya sama ada terdapat ahli atau pemimpin Pas yang didapati terlibat dalam GISBH iaitu pergerakan yang didapati menyimpang daripada ajaran Islam.

Setakat ini, tiga negeri sudah memutuskan pengikut GISBH sama ada pekerja atau mana-mana orang Islam adalah menyeleweng dan sesat menerusi fatwa yang diputuskan jawatankuasa negeri masing-masing iaitu Perlis, Selangor dan Pahang.

Sehingga kini, polis telah menahan kira-kira 200 individu termasuk 17 yang memegang jawatan dalam GISBH dalam operasi besar-besaran bagi membantu pelbagai siasatan melibatkan organisasi terbabit. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here