Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah bercakap pada sidang media berkenaan pendaftaran seramai 4,214 pelajar baharu sesi 2024/2025 di Kolej Canselor, UPM Serdang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 5 OKTOBER 2024.

SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima seramai 4,214 pelajar baharu untuk program Bacelor sesi akademik 2024/2025 pada 5 hingga 6 Oktober ini di Kampus Serdang, Selangor termasuk 145 orang UPM Kampus Bintulu, Sarawak.

Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, jumlah bilangan pelajar yang menerima tawaran di institusi itu meningkat berbanding kemasukan lalu sebanyak 3,652 pelajar.

“Seramai 1,300 pelajar bacelor baharu yang dijangka mendaftar dalam 27 program pengajian Agrobio Pertanian antaranya Bacelor Sains Pertanian dengan Kepujian, Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem dengan Kepujian, Bacelor Sains dan Teknologi Makanan dengan Kepujian serta Bacelor Sains Bioteknologi dengan Kepujian. 

“Sementara itu, seramai 580 pelajar antarabangsa dari 28 negara antaranya Indonesia, Jepun, Arab Saudi termasuk Belanda dan China akan mendaftar mulai hari ini sehingga 25 Oktober dengan peningkatan seramai 301 orang berbanding tahun lalu iaitu 274 pelajar,” katanya ketika sidang media di UPM Serdang hari ini. 

Ahmad Farhan berkata, UPM turut menawarkan program pengajian kepada 80 atlet sukan negara dalam pelbagai bidang sukan antaranya acara olahraga dan hoki dalam kejohanan dalam negara dan antarabangsa seperti Sukan SEA dan SUKMA.

Selain itu, seramai 11 pelajar Orang Asli dan enam pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) turut akan mendaftar pada sesi akademik ini.

Beliau turut menambah, UPM juga menjadi universiti mesra OKU di mana fasiliti yang lengkap telah disediakan bagi memudahkan pelajar mereka melakukan aktiviti harian.

Sementara itu, mahasiswa OKU yang ditemui, teruja dengan peluang menjadi warga baharu UPM.

Pelajar, Clarissa Fenia Raymond

Clarissa Fenia Raymond, 23, yang berasal dari Telupid, Sabah berkata, pelajar kurang upaya tidak perlu risau untuk menyambung pengajian kerana kemudahan untuk golongan OKU sudah banyak disediakan.

Pelajar, Clarissa Fenia Raymond, 23 hadir pada pendaftaran seramai 4,214 pelajar baharu sesi 2024/2025 di Kolej Canselor, UPM Serdang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 5 OKTOBER 2024.

“OKU sudah tidak perlu berasa risau dan takut untuk pergi ke kelas atau sesuatu tempat kerana kemudahan di UPM sangat membantu saya,” katanya ketika ditemui selepas sesi pendaftaran kolej di sini hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast