SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus mengukuhkan reputasi sebagai destinasi pilihan pelajar mengejar impian akademik daripada pelbagai latar belakang.
Salah seorang warga baharunya, Daniel Zainal Abidin, 19, pelajar jurusan Kejuruteraan Awam berasal dari Pulau Pinang merupakan antara pelajar yang berjaya mendapat tempat di UPM kali ini.
Berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan, dia bersyukur kerana diberi peluang melanjutkan pengajian serta mendapat bantuan awal pengajian dan komputer riba.
“Ayah saya mengalami strok dan tidak bekerja begitu juga ibu saya. Sekarang ini, keluara saya ditanggung oleh adik-beradik yang sudah bekerja.
“Saya bercita-cita menjadi jurutera awam dan berharap dapat menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya ketika ditemui media selepas sesi pendaftaran kemasukan kolej di sini hari ini.
Selain itu, UPM turut menawarkan program pengajian kepada 80 atlet sukan negara dalam pelbagai bidang sukan antaranya acara olahraga dan hoki dalam kejohanan dalam negara dan antarabangsa seperti Sukan SEA dan SUKMA.
Antara atlet yang ditawarkan program pengajian ialah pelari pecut wanita negara, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal, 20, yang mengikuti program Bacelor Pendidikan dalam Pendidikan Jasmani dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Pendidikan UPM.
“Sepanjang bersekolah menengah, saya berjauhan dengan keluarga dan menjadi satu kelebihan buat saya untuk menyambung pengajian di sini kerana dapat dekat dengan mereka,” katanya.
Batrisyia sebelum ini pernah memenangi tiga pingat emas dalam sukan Sukma Sarawak 2024 yang berlangsung pada Ogos lalu. – MalaysiaGazette