Dr. Mohd Na’im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggesa semua pihak agar sentiasa menghormati serta memahami sensitiviti umat Islam khususnya dalam aspek ketetapan hukum-hakam dan nilai-nilai fitrah insan.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, sebarang acara yang boleh mencetuskan polemik serta menggugat kedaulatan agama Islam perlulah dielakkan sama sekali.

“Saya menyokong penuh ketegasan Kerajaan Negeri Johor yang telah meminta siasatan dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

“Semua pihak diseru agar memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk mengendalikan isu ini.

“Perpaduan serta keharmonian perlu sentiasa dipelihara demi kemakmuran negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri mahupun agensi kerajaannya tiada kaitan dengan penganjuran sebuah larian yang mempromosikan budaya songsang di Bandar Penawar, Kota Tinggi.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran terhadap mana-mana pihak bagi menganjurkan acara yang menjejaskan sensitiviti agama Islam di negeri ini.

Beliau berkata, selepas berhubung dengan pihak PDRM dan penganjur, objektif penganjuran acara itu bukanlah seperti yang dinyatakan dan kejadian yang berlaku adalah di luar kawalan pihak penganjur.

Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius isu itu dan menggesa polis menjalankan siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

 

ARTIKEL BERKAITAN

Tiga ditahan terlibat insiden tidak senonoh, lucah ketika larian

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here