IPOH – Segelintir golongan elit di negara ini diingatkan untuk tidak terlalu taksub dengan bahasa Inggeris dengan meminggirkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masalah dalam penguasaan Bahasa Melayu sepatutnya berlalu, namun masih terdapat segelintir elit yang terlalu ghairah dan obses dengan bahasa Inggeris.
Katanya, tanpa meremehkan kepentingan bahasa Inggeris, golongan itu sepatutnya tidak mempunyai perasaan fobia dengan bahasa sendiri dengan seolah-olah menganggap kejayaan atau kepintaran itu hanya lahir melalui bahasa Inggeris.
Terdahulu Anwar dan tetamu kehormat lain menyampaikan Anugerah Ikon Bahasa kepada tiga penerima iaitu Penyanyi Roslan Madun dan Hazwan Haziq Rosebi serta Personaliti Televisyen, Ahmad Fedtri Yahya.
Turut disampaikan Hadiah Karya Ilmiah 2021/2022 kepada Shamsul Bahari Abd Razak melalui karya ‘Kelulutologi: Merungkai Misteri Kelulut, Alam dan Kehidupan Manusia’, serta Norfishah Mat Rabi melalui tulisan ‘Rawatan Alternatif Untuk Kanak-kanak Autistik’.- MG Perak