IPOH – Dua lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menempatkan mangsa banjir dibuka dan kali ini melibatkan Daerah Hulu Perak, pada Ahad.
Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, seramai 13 mangsa ditempatkan di PPS SK Sri Andika Raja sementara 76 ditempatkan di PPS SMK Gerik.
Katanya, 13 mangsa dari lapan keluarga itu dari Kampung Air Suda, sementara 76 mangsa dari 26 keluarga dari Kampung Padang.
“Dua PPS itu dibuka pada jam 12 tengah malam tadi ekoran situasi banjir yang membimbangkan. Dan ia menjadikan peningkatan jumlah mangsa banjir di Perak daripada 142 kepada 231 orang,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Menurutnya, dua PPS di Kerian iaitu di PPS SK Changkat Lobak dan SK Parit Haji Aman Bagan Serai masing-masing menempatkan 45 dan 32 mangsa banjir.
Katanya lagi, sementara di Taiping, 45 mangsa banjir ditempatkan di PPS SK Matang Gelugor, Matang dan 20 mangsa ditempatkan di PPS SK Matang.
Menurutnya, terdapat tujuh kawasan yang terjejas banjir di Taiping iaitu, Kampung Matang Gelugor, Kampung Matang Pasir, Kampung Jebong Kiri, Kampung Teluk Kertang Matang Kampung Jebong Kiri dan Kampung Tebuk.
Dalam pada itu katanya, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Perak di Pasang Api, Bagan Datuk melepasi aras amaran iaitu 2.11 meter.
Katanya lagi, Jabatan Meteorologi (METMalaysia) memaklumkan Hulu Perak, Kerian dan Larut Matang Selama, diramalkan mengalami hujan pada sebelah petang dan malam. – MG Perak