Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

KUANTAN – Peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) penting dalam menganggal jubah kesesatan fahaman Global Ikhwan Services and Holding Sdn. Bhd. (GISBH) yang didakwa sehingga mengakibatkan kanak-kanak menjadi mangsa gerakan berkenaan.

Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, JKM perlu berkolaborasi beberapa agensi lain dalam melindungi kebajikan dan aqidah kanak-kanak yang yang terbabit gerakan berunsurkan Al-Arqam.

“JKM hendaklah bekerjasama dengan institusi agama untuk menanggalkan jubah kesesatan mereka ini. Walau apapun status anak tersebut kebajikan anak itu mestilah dipelihara.

“JKM mungkin tidak  dapat menampung bilangan kanak-kanak yang terlibat. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri mungkin boleh mengumpukkan suatu dana untuk penjagaan kanak-kanak ini di pusat-pusat tertentu dan bekerjasama dengan JKM.

“Oleh itu tempat khusus mungkin perlu diwujudkan untuk mereka. Hal ini penting untuk menyahkan indoktrinasi yang selama ini dipegang oleh mereka,” katanya hari ini.

Selain itu Zainul berpendapat  pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan kedutaan Malaysia di luar negara juga berperanan dalam mengekang doktrin yang menyeleweng dan sesat itu kepada pengikut ajaran itu yang berada di luar negara.

Ianya penting bagi memastikan anak-anak Malaysia di luar negara yang terbabit dengan amalan dan kepercayaan GISBH dibawa balik dan diberi pendidikan yang sempurna serta bimbingan agama sewajarnya.

“Ini adalah kerana terdapat ramai anak-anak Malaysia di luar negara yang terlibat dengan kesesatan GISB ini.

“Walaupun berada di luar negara kebajikan dan aqidah mereka perlu dilindungi. Mereka perlu segera dibawa pulang dan diberi bimbingan sewajarnya,” tambahnya.

Selain isu kebajikan kemelut  GISB ini bukan sahaja berkenaan dengan pegangan aqidah tetapi ia juga dikaitkan dengan isu buruh, kanak-kanak, termasuk hak penjagaan serta status kanak- kanak berkenaan.

Tegasnya kerajaan perlu mengambil tindakan bersepadu bagi menangani isu GISB ini khususnya yang melibatkan kanak-kanak.

Justeru Zainul berharap orang yang bertanggungjawab terhadap kemelut ini perlu dihadapkan ke mahkamah dan dipertanggung jawabkan atas tindakan mereka.

Tambahnya diharapkan siasatan dilakukan dengan adil dan telus serta mengikut undang-undang dijalankan oleh pihak berkuasa dan agensi berkaitan.

Semalam  Pahang telah mengisytiharkan amalan dan kepercayaan GISBH amenyeleweng dan sesat kepada pengikut yang meneruskan fahaman Aurad Muhammadiah yang dibawa gerakan al-Arqam yang diwartakan sesat pada tahun 1994.

Sebelum ini Perlis dan Selangor juga sudah mengisytiharkan sedemikian dan beberapa negeri lain akan turut mengambil tindakan yang sama.

“Walaupun ramai mempersoalkan kenapa begitu lama kerajaan tidak mengambil tindakan sehingga dikatakan sebuah empayar ekonomi telah dibina baru kini kerajaan mengambil tindakan namun, itu bulanlah persoalannya.

“Bukanlah untuk menoleh ke belakang menyalahkan mana-mana pihak tetapi apa yang utama fokus menjurus kepada  tindakan yang perlu diambil,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here