Zuzina Abine.--kredit PDRM

GUA MUSANG – Lebih 30 penduduk dari Kampung Bering, Kampung Pasik dan Kuala Wook di sini terus berusaha mencari seorang wanita Orang Asli Zuzina Abine, 32, yang hilang sejak 20 Sept lepas walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dihentikan seminggu selepas kejadian tersebut.

Penghulu Kampung Bering Lama Anjang Ranget, 60, berkata mereka telah melakukan pencarian sejauh 10 kilometer (km) iaitu dari Kampung Bering hingga ke kawasan sempadan Kampung Gawin, Pos Gob tetapi usaha menemukan mangsa masih gagal.

“Sebelum ini, pihak polis dan bomba telah menggunakan anjing pengesan tetapi tidak menjumpai sebarang petanda seperti selipar, baju atau tapak kaki Zuzina.

“Sekiranya kami menemukan sebarang kesan yang ditinggalkan Zuzina, kemungkinan khidmat dukun daripada masyarakat Orang Asli akan digunakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kakak mangsa, Timah Ason, 37, berkata pada hari kejadian adiknya yang menghidap penyakit sawan keluar dari rumah pada 7 pagi tanpa disedari ahli keluarga dan kali terakhir dilihat memakai baju kemeja-T berwarna hitam serta berkain batik.

“Zuzina mungkin tersesat, kami sekeluarga sangat rindu kepadanya dan berharap dia ditemukan dengan selamat,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani bersama wakil daripada beberapa agensi menyampaikan bantuan makanan sebagai tanda sokongan kepada keluarga dan penduduk kampung yang meneruskan misi mencari mangsa.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata operasi SAR ditamatkan pada 27 Sept lepas setelah pencarian dalam radius 2.5 km dilakukan bermula dari rumah mangsa gagal menemukan sebarang petunjuk tentang keberadaan wanita itu dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Beliau berkata SAR yang dijalankan turut melibatkan beberapa agensi seperti bomba, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Media sebelum ini melaporkan, polis sedang berusaha mengesan seorang wanita Orang Asli dikenali sebagai Zuzina dari Kampung Bring Lama, Pos Pasik yang berketinggian 152 sentimeter, berat 43 kilogram, tidak berkaca mata, berambut pendek dan kerinting, berkulit hitam manis, bentuk mata bulat, memiliki bibir tebal dan mempunyai kesan parut di bahagian betis sebelah kanan, dipercayai hilang sejak 20 Sept lepas. – BERNAMA

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here