Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bergambar bersama sekumpulan kanak-kanak yang turut serta pada kempen Program Walkabout Premis Bersih Bebas Asap (BeBAs) di Eco Grandeur, Puncak Alam. Foto SADIQ SANI, 06 OKTOBER 2024

KUALA SELANGOR – Dakwaan kononnya Kementerian Kesihatan (KKM) lambat bertindak melaksanakan siasatan berhubung kematian seorang doktor di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini tidak benar.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, dakwaan itu silap dan tersasar.

Tegas beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menjalankan siasatan menerusi panel bebas yang tidak dianggotai oleh mana-mana pegawai daripada kementerian berkenaan merupakan langkah awal yang diambil pihaknya. 

“Beliau (Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong) menyebutkan bahawa kita lewat itu adalah sangat silap dan tersasar, dia patut tahu kita (KKM) dengan segera di peringkat Jabatan Kesihatan Negeri menyiasat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media selepas menghadiri Program Walkabout Premis Bersih Bebas Asap (BeBAs) di Eco Grandeur, Puncak Alam. Foto SADIQ SANI, 06 OKTOBER 2024

“Apa yang kita lakukan baru-baru ini adalah suatu keputusan daripada keputusan awal untuk mewujudkan panel bebas dan setiap seorangnya bukan dari KKM Putrajaya, ada yang keluhan kata kenapa bukan bebas tapi tidak benar,” katanya ketika sidang media selepas Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Eco Grandeur Puncak Alam hari ini.

Sebagai rekod pada 29 Ogos lalu,  seorang doktor ditemui mati di kediamannya di Lahad Datu didakwa disebabkan tindakan bunuh diri berikutan tidak tahan dibuli oleh ketua jabatannya.

Mendedahkan perkara itu, adik mangsa yang dikenali sebagai YS Tay mendakwa kakaknya, Dr Tay Tien Yaa ditindas pegawai atasannya selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas di unitnya akibat beban kerja melampau.

Susulan itu, pada Rabu lalu, Dr Dzulkefly berkata, KKM menubuhkan pasukan petugas khas bebas bagi menyiasat insiden kes kematian pakar perubatan patologi dari Hospital Lahad Datu, Sabah yang didakwa akibat dibuli di tempat kerja.

Katanya, petugas khas tersebut dianggotai lima ahli bebas itu akan berkuat kuasa pada 10 Oktober 2024.

Sebelum itu Ahli Parlimen Kota Melaka mengeluarkan kenyataan yang menganggap KKM bertindak lewat.

Menurut Dr Dzulkefly lagi, kesemua ahli bebas itu bukan anggota KKM namun mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam pelbagai bidang seperti perubatan, psikiatri, patologi, kesihatan mental serta perlakuan buli.

Jelas beliau, hasil siasatan tersebut akan digunakan bagi menentukan tindakan selanjutnya termasuk sama ada pampasan kepada doktor tersebut.

“Kita juga dengan segera menjalankan siasatan dalaman hasilnya kita buat panel bebas. Jadi tolong dapatkan fakta yang tepat, saya tidak mahu in out yang tidak benar.

“Setelah dapatan dapatan  pasti kita akan segera tentukan tentang membayar (pampasan). Jangan buat andaian kena tunggu dulu apakah hasil siasatan panel bebas itu,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast