Antara peserta berpakaian tidak senonoh dalam Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di sebuah hotel di Bandar Penawar, Desaru, Kota Tinggi, semalam.

KUALA LUMPUR – Program larian didakwa disertai pelancong asing berpakaian kurang sopan dan mempromosi budaya songsang lesbian, gay, biseksual serta transgender (LGBT) boleh mengancam sensitiviti masyarakat khasnya umat Islam.

Ketua Penerangan, Badan Perhubungan Pas Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, aktiviti tidak bermoral itu bercanggah dengan Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan.

“Ianya juga bertentangan dengan budaya kesopanan masyarakat Johor yang mempunyai nilai peradaban dan sosial yang mulia.

“Pas Johor mengucapkan tahniah kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Negeri Johor yang telah mengambil tindakan drastik ke atas pelanggaran ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri mahupun agensi kerajaannya tiada kaitan dengan penganjuran sebuah larian yang mempromosikan budaya songsang di Bandar Penawar, Kota Tinggi.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran terhadap mana-mana pihak bagi menganjurkan acara menjejaskan sensitiviti agama Islam di negeri ini.

Menurut Abu Irfan, siasatan telus dan tindakan tegas perlu diambil ke atas pihak terlibat bagi membendung gejala sosial dan perilaku yang merosakkan.

“Tindakan tegas bagi memastikan ianya tidak menjadi ikutan kepada generasi akan datang di samping penguatkuasaan berterusan.

“Semoga Johor akan terus terpelihara daripada perkara mungkar yang mengundang kemurkaan Allah SWT,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here