Ada peserta berpakaian tidak senonoh dan penyokong LGBT dalam Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di sebuah hotel di Bandar Penawar, Desaru, Kota Tinggi kelmarin.

KOTA TINGGI – Lotus Desaru Beach Resort & Spa memaklumkan penglibatan pihak Lotus Desaru dalam acara Pan-Asian Hash 2024 yang diadakan di resort itu adalah terhad kepada penyediaan penginapan dan perkhidmatan makanan untuk peserta sahaja.

Lotus Desaru dalam satu kenyataan menjelaskan, Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 tersebut merupakan satu acara amal yang disertai lebih daripada 2,000 peserta dari 42 negara.

Menurutnya, program dianjurkan oleh kumpulan Pan-Asian Hash untuk memupuk penglibatan komuniti dan meraikan semangat persahabatan antarabangsa.

“Semua aktiviti dan program lain diuruskan sepenuhnya oleh kumpulan Pan-Asian Hash. Kami memahami bahawa beberapa aspek acara ini mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti,” menurut kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, sebagai penyedia perkhidmatan hospitaliti, fokus utama pihak hotel adalah untuk memberikan pengalaman berkualiti kepada tetamu.

Jelas Lotus Desaru lagi, pihak hotel tidak terlibat dalam perancangan atau pelaksanaan sebarang aktiviti yang tidak berkaitan dengan hospitaliti.

“Lotus Desaru berkomitmen untuk memupuk hubungan positif dengan komuniti tempatan dan akan memastikan acara-acara yang akan datang dilaksanakan dengan sensitiviti dan kesedaran yang lebih tinggi,” kata kenyataan yang sama.

Terdahulu tular foto dan video berkenaan yang berdurasi tujuh saat dalam satu Facebook komuniti berkenaan program larian antarabangsa tersebut.

Dalam foto dan video tersebut memaparkan sekumpulan penari wanita membuat persembahan dengan pakaian mencolok mata.

Menerusi foto tersebut, turut terdapat peserta yang mengenakan pakaian seperti penyokong lesbian, gay, biseksual transgender (LGBT).

Program berkenaan dianjurkan oleh Persatuan The Hash House Harriers.

Ekoran itu polis menahan tiga lelaki termasuk dua lelaki warga asing berusia 39 hingga 79 tahun di sebuah hotel di daerah ini malam tadi bagi membantu siasatan berhubung insiden itu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya turut merampas pakaian serta aksesori yang dipercayai dipakai semasa larian tersebut iaitu sepasang sari berwarna merah, sepasang skirt warna merah, tiga keping kadbod berwarna perak dan satu batang tombak tiruan berwarna perak.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pula menegaskan negeri ini tidak akan bertolak ansur dengan acara tidak senonoh serta lucah seperti acara larian berkenaan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here