Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dalam sidang media selepas Program Ziarah Asnaf di Program Perumahan Rakyat (PPR) Beringin Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP)  terus memperkukuhkan komitmen mereka dalam membantu golongan asnaf dengan pelbagai inisiatif kebajikan dan bantuan melalui Program Ziarah Asnaf siri ketujuh.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, pihaknya hari ini telah membantu  empat keluarga, tiga daripadanya menetap di Program Perumahan Rakyat (PPR) Beringin manakala satu lagi keluarga di PPR Air Panas di sini.

“Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup mereka serta mengurangkan beban kewangan golongan yang kurang berkemampuan.

“MAIWP telah memberi bantuan kewangan, perumahan, pendidikan dan keperluan asas. Namun, jumlah yang diterima setiap keluarga berbeza, berdasarkan keperluan perbelanjaan mereka,” katanya.

Mohd Na’im berucap demikian ketika ditemui media selepas Program Ziarah Asnaf di perkarangan PPR Beringin, hari ini.

Beliau turut berkongsi kisah salah sebuah keluarga terdiri daripada sepasang suami isteri, Ramli Yusof, 74, bersama isteri, Shopiah Bakri, 66, yang tinggal berjauhan dan telah terputus hubungan dengan dua orang anak lelaki mereka.

“Ramli merupakan seorang pesara kerajaan dan kini menghidap penyakit buah pinggang, darah tinggi, kencing manis kronik serta penyakit nyanyuk manakala isterinya menghidap darah tinggi, kencing manis dan masalah saraf di tangan.

“Saya difahamkan anak sulung mereka yang berumur 47 tahun menghidap strok dan kali terakhir mereka berjumpa adalah pada tahun 2021. Bukan itu sahaja, mereka juga telah dihalang bertemu dengan seorang lagi anak mereka,” tambahnya.

Ramli telah menerima bantuan RM15,264 setahun dengan bantuan bulanan sebanyak RM1,272 temasuk keperluan asas, ubat diabetik dan bantuan sewa rumah.

Dalam kunjungan itu, setiap keluarga yang dilawat telah diberikan bantuan kewangan sebanyak RM500, bantuan kerusi roda dan makanan asas.

Beliau turut mengambil peluang merakamkan penghargaan kepada pembayar zakat kerana menerusinya, MAIWP dapat memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Kami akan pastikan bantuan sampai ke tangan mereka yang tepat dan memerlukan. Apabila masyarakat kita saling membantu dan mendoakan. Insya-Allah, kita akan dapat membina negara MADANI yang sejahtera,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here