Antara peserta berpakaian tidak senonoh dalam Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di sebuah hotel di Bandar Penawar, Desaru, Kota Tinggi, kelmarin.

KOTA TINGGI – Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) tidak mengeluarkan permit untuk program larian yang menampilkan kelakuan tidak senonoh serta lucah di sebuah hotel di Desaru, Bandar Penawar di sini kelmarin.

MPP dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya tidak pernah memberikan kelulusan program tersebut malah tiada dalam pemakluman pihaknya.

“Berikutan isu yang tular mengenai pelancong berpakaian songsang ketika larian di Kota Tinggi, sebagaimana kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, bahawa acara tersebut bukanlah anjuran kerajaan negeri mahupun mana-mana agensi Kerajaan Negeri Johor.

“Sehubungan dengan itu, MPP menegaskan bahawa penganjuran program ini tidak mendapat mana-mana kelulusan dan tiada pemakluman kepada pihak MPP.

“Sebarang kesalahan undang-undang termasuklah menganjurkan aktiviti yang tiada permit akan diambil tindakan penguatkuasaan oleh MPP.

“Tindakan itu adalah di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Undang-Undang Kecil berkuatkuasa yang diguna pakai,” menurut kenyataan tersebut hari ini.

MPP juga tidak akan memberi kebenaran atau kelonggaran terhadap mana-mana pihak bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.

Jelasnya, sebarang penganjuran program perlulah membuat permohonan dan mendapatkan kebenaran serta kelulusan terlebih dahulu daripada PBT bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang.

Sebelum itu, tular foto dan video berkenaan program itu dalam Facebook (FB) Khas Penduduk Kota Tinggi dengan kapsyen ‘apa nak jadi dengan Bandar Penawar ni’.

Semalam, media melaporkan kerajaan negeri tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran terhadap mana-mana pihak bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di Johor.

Onn Hafiz menegaskan, kerajaan negeri memandang serius dan tidak akan berkompromi dalam penganjuran acara tidak bermoral seperti itu.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here