JOHOR BAHRU β Teo Nie Ching dan Wong Shu Qi melakar sejarah apabila menjadi dua pemimpin DAP wanita yang dipilih sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi DAP Johor.
Nie Ching yang jgua Ketua Wanita DAP Kebangsaan menggantikan Liew Chin Tong yang menerajui DAP negeri sejak 2014 manakala Shu Qi mengambil tempat Nie Ching sebelum ini.
Ahli Parlimen Kulai dan Ahli Parlimen Kluang itu dipilih dalam Konvensyen Biasa Negeri DAP Johor di Taman Ekoflora di sini hari ini bagi penggal 2024-2027.
Beliau dan Shu Qi yang juga Ahli Parlimen Kluang akan berganding bahu mengemudi DAP Johor menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 yang dijangka berlangsung dalam tempoh kurang dua tahun lagi.
Selain Nie Ching dan Shu Qi, seorang lagi pemimpin wanita DAP, Gan Peck Cheng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penggaram dan bekas Timbalan Speaker DUN Johor pula dipilih sebagai Naib Pengerusi DAP Johor bersama-sama ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali.
Nie Ching, Shu Qi dan Peck Cheng masing-masing menerima undian ketiga, kelapan dan kesembilan tertinggi dalam pemilihan ke Jawatankuasa DAP Negeri Johor.
Hari ini, Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri dan ADUN Perling dilaporkan mengumumkan beliau mahu berundur daripada jawatannya sebagai Pengerusi DAP Johor untuk memberi ruang kepada Nie Ching menggantikannya.
Chin Tong dilaporkan berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas beliau menerajui DAP Johor selama 10 tahun dan telah berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk PRU dan PRN.
Sementara itu, Nie Ching berkata, pemilihannya sebagai Pengerusi DAP Johor adalah penghormatan dan datang dengan satu tanggungjawab yang besar.
Katanya, sebagai pengerusi wanita pertama DAP Johor, beliau terhutang budi dan berterima kasih dengan Chin Tong yang mengabdikan satu dekad kariernya untuk mengukuhkan dan memimpin DAP Johor.
“Sebagai Ketua Wanita DAP, saya juga berbangga untuk menyatakan daripada 20 anggota Jawatankuasa DAP Johor, seramai sembilan daripadanya adalah wanita mewakili 45 peratus daripada jawatankuasa negeri,β ujarnya.
Timbalan Menteri Komunikasi itu berkata, ia adalah representasi wanita yang tertinggi antara semua Jawatankuasa Negeri DAP di seluruh negara.
“Wanita bukan sekadar wakil simbolik tetapi perlu diberi tanggungjawab penting untuk memimpin,β ujarnya.
βIni adalah bukti jelas pemerkasaan gender dan menjadi bukti komitmen DAP Johor terhadap kesetaraan gender dan pemerkasaan wanita dalam kepimpinan.
“Kami akan terus memperjuangkan nilai-nilai ini dan berusaha untuk representasi dan inklusiviti yang lebih besar di masa hadapan,” tambahnya.- MalaysiaGazette