Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

JOHOR BAHRU – Pelancaran operasi kontena di Pelabuhan Tanjung Langsat, Pasir Gudang bakal melonjakkan pertumbuhan Johor sebagai kuasa ekonomi terbesar di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia merupakan satu projek penting yang menjadikan Johor sebagai satu-satunya negeri di semenanjung mempunyai tiga pelabuhan kontena.

Beliau berkata, dua lagi adalah Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Gelang Patah.

“Pembangunan ini menandakan satu lagi langkah penting yang telah diambil dalam mentransformasikan ekonomi negara selari dengan matlamat Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bakal merangsang pertumbuhan di wilayah selatan negara.

“Selain pelabuhan, beberapa dasar penting di bawah kerajaan Madani berkisar kepada pertumbuhan Johor, ini adalah strategi kerajaan Persekutuan dalam menjadi enjin pertumbuhan ekonomi yang paling utama.

“Pertumbuhan ini turut dirangsang dengan pelbagai projek infrastruktur besar seperti Sistem Transit Rapid (RTS) yang siap dalam tempoh dua tahun lagi manakala Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru akan siap beberapa bulan lagi.

“Inisiatif serta dasar Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) juga merupakan pendekatan sangat berani yang bukan sahaja melonjakkan ekonomi di Johor tapi di seluruh negara,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP ketika berucap pada Konvensyen Biasa Negeri DAP Johor di Taman Ekoflora di sini hari ini.

Khamis lalu, Siew Fook merasmikan pelancaran operasi kontena Johor Corporation (JCorp), melalui anak syarikatnya, JLand Group (JLG) di Pelabuhan Tanjung Langsat.

Pelabuhan Tanjung Langsat dikendalikan TLP Terminal Sdn. Bhd. (TLPT) yang diberi lesen oleh Lembaga Pelabuhan Johor (JPA) untuk mengendalikan kargo cecair, pukal dan Separa Pukal dan Kontena.

Siew Fook berkata, ini merupakan satu pencapaian penting yang bakal mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri minyak, gas dan logistik di pentas global.

Tambahnya, ini juga menandakan satu lagi pencapaian besar dalam transformasi ekonomi Johor selatan dalam mengukuhkan kedudukannya sebagai hab penting bagi sektor perdagangan dan logistik serantau.

“Kepakaran TLP dalam mengendalikan kargo terutamanya dalam sektor petroleum dan minyak boleh dimakan (edible oil), telah menjadikannya sebagai teras rangkaian logistik dan rantaian bekalan Johor.

“Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat telah menarik pelaburan sebanyak RM34 bilion dan mewujudkan lebih 15,500 pekerjaan,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here