Raub menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dalam empat serbuan, selepas sidang akhbar di IPD Johor Bahru Selatan, Larkin, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Sepasang kekasih antara tiga ditahan selepas polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah lebih RM1.4 juta selepas melakukan empat serbuan berasingan sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, operasi tersebut dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dari pukul 6.30 pagi hingga 4 petang, pada 28 September lalu.

Beliau berkata, menerusi serbuan tersebut dua lelaki dan seorang wanita tempatan ditahan.

“Polis percaya ketiga-tiga suspek yang berumur diantara 26 hingga 35 tahun merupakan dalang dan juga pengedar dadah untuk pasaran di sekitar Johor Bahru.

“Hasil serbuan tersebut lebih 8.8 kilogram melibatkan pelbagai jenis dadah dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Johor Bahru Selatan di sini hari ini.

Katanya, rampasan itu melibatkan 8,621.40 gram serbuk ekstasi bernilai RM1,439,773; 164,00 gram ketamin (RM32,800), 15.80 gram pil eramin 5 (RM1,580) dan 5 gram syabu (RM550).

Nilai kesemua dadah yang dirampas itu berjumlah lebih RM1.4 juta dan boleh digunakan seramai 9,560 penagih, katanya.

Selain itu kata Raub, pihaknya menyita wang tunai RM385, dua utas gelang tangan, seutas rantai leher dan sepasang subang selain alat penimbang digital, alat pengisar dan satu anak kunci rumah.

Jelasnya, jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan adalah RM1.448 juta.

Menurutnya, sindiket dadah itu dipercayai bergiat aktif sejak Ogos lalu dengan mengisi dadah dalam peket minuman segera dan dijual dengan harga antara RM200 hingga RM300 satu paket.

Beliau berkata, usaha mengesan saki baki sindiket yang masih aktif itu masih giat dijalankan.

“Hasil ujian air kencing mendapati dua lelaki tempatan itu positif dadah jenis Amphetamine manakala seorang suspek lelaki dan wanita mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” ujarnya.

Kesemua suspek tambahnya, direman 13 hari sehingga 11 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here