Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melakukan gimik dengan menampal stiker bebas asap di premis-premis makanan pada Program Walkabout Premis Bersih Bebas Asap (BeBAs) di Eco Grandeur, Puncak Alam. Foto SADIQ SANI, 06 OKTOBER 2024

KUALA SELANGOR – Pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) di premis pada masa ini masih menumpukan penguatkuasaan pendidikan demi memastikan masyarakat celik pengetahuan tentang undang-undang berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan pengeluaran kompaun terhadap premis yang mempamerkan produk terbabit secara terbuka akan dilaksanakan bermula April 2025.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang merokok di kawasan larangan seperti undang-undang sedia ada tetap diberikan kompaun.

“Tapi kita tidak keluarkan kompaun tapi amaran dan penguatkuasaan pendidikan. Peraturan sedia ada kompaun 12 di kita keluarkan di premis yang sebelum ini bukan melalui penguatkuasaan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Eco Grandeur Puncak Alam hari ini.

Kata Dr Dzulkefly, sejak Akta 852 dikuatkuasakan 1 hingga 5 Oktober lalu sebanyak 6,245 premis telah diperiksa.

Terdahulu beliau berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 9,440 aduan telah diterima berkaitan kesalahan merokok di premis makanan telah diterima oleh KKM melalui talian WhatsApp Aduan Merokok iaitu +6010 – 860 8949.

Manakala bagi tempoh Januari hingga Ogos 2024, sebanyak 8,762 aduan telah diterima.

Jelas beliau, semua aduan telah disalurkan kepada pejabat kesihatan di kawasan masing-masing untuk diambil tindakan.

Sementara itu, beliau juga menasihatkan pemantauan penguatkuasaan Akta 852 dilaksanakan secara berhemah tanpa melibatkan kekecohan.

“Jadi kita nasihatkan pemilik premis dan penguat kuasa supaya kekal tegas laksanakan dengan berhemah dan berhikmah. Boleh tegas tanpa bergaduh dan tidak sopan. Jangan sampai ada pergaduhan.

“Tapi ini peraturan kena patuh,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here