Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini melepas dan membebaskan pasangan suami isteri daripada pertuduhan mengedar dan memiliki dadah berbahaya, lima tahun lalu.

JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada pertuduhan mengedar dan memiliki dadah lima tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Abu Bakar Katar selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh, Mohd Erry Edzmir Ab Manan, 35 dan Noor Aisha Marzuki, 34, pada akhir kes pendakwaan.

Selepas menimbang secara maksimum keterangan yang dikemukakan sepanjang kes pendakwaan dan selepas menghalusi hujahan bertulis kedua-dua pihak, hakim memerintahkan dua tertuduh itu tidak perlu dipanggil membela diri.

Selesai prosiding, peguam, Mohd Daud Ismail yang mewakili kedua-dua tertuduh memberitahu, pihak pendakwaan gagal membuktikan anak-anak guamnya mempunyai kawalan atau jagaan ke atas semua dadah berbahaya yang ditemui di tempat kejadian.

“Faktor kedekatan semata-mata tidak mencukupi membuktikan pemilikan terhadap dadah berbahaya yang ditemui di tempat kejadian dan pihak pendakwaan gagal mengecualikan akses orang lain terhadap tempat kejadian.

“Anggapan bertentangan di bawah Seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 juga berjaya dibangkitkan terhadap pihak pendakwaan atas kegagalan mengemukakan rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian selain pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa anak-anak guam saya mempunyai pengetahuan ke atas kewujudan dadah berbahaya di tempat kejadian,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan pindaan pertama dan kedua, tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine dengan berat bersih 2,131.95 gram manakala pertuduhan pindaan kedua, mereka bersama-sama didakwa memiliki Etizolam dengan berat bersih 1.99 gram.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel di Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut di sini pukul 9 malam pada 17 September 2019.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Juanita Mohd Said dan Muhammad Syafiq Mohd Ghazali.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here