Nur Najmil Basyirah, penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) antara penerima wang Dermasiswa Al-Ikhlas. Foto UMT

KUALA LUMPUR-  Universiti Malaysia Terengganu (UMT)  mengagihkan sumbangan zakat Dermasiswa Al-Ikhlas kepada 650 orang pelajar baharu yang terdiri dalam golongan asnaf.

Sumbangan berjumlah RM325,000 disampaikan dalam satu majlis khas yang diadakan di UMT sempena Minggu Jalinan Mesra pelajar baharu UMT sesi 2024/2025.

Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dalam ucapannya berkata, zakat Dermasiswa Al-Ikhlas yang bernilai RM500 setiap seorang itu adalah hasil sumbangan zakat perniagaan daripada pelbagai agensi korporat.

“Sumbangan ini adalah untuk meringankan beban kewangan pelajar dan membantu mereka memulakan pengajian di UMT dengan lebih yakin dan tenang,” katanya.

Beliau turut memuji peranan Pusat Islam Sultan Mahmud UMT yang sentiasa berusaha meningkatkan dana zakat setiap tahun.

“Usaha berterusan yang diperkenalkan oleh Pusat Islam Sultan Mahmud UMT termasuk pelaksanaan kempen “C to Z” dan jerayawara ke Lembah Klang telah berjaya meningkatkan kutipan zakat hampir 100 peratus setiap tahun.

“Pada tahun ini sahaja, UMT telah menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM1.26 juta kepada 2,429 pelajar asnaf”.

UMT juga memperkenalkan pelbagai inisiatif melalui program pembangunan asnaf seperti AsnafXChange, Asnaf+ dan AsnafPro.

“Program AsnafPro yang bermula dengan pembiayaan kepada dua orang pelajar kini telah berkembang kepada 13 pelajar miskin cerdik dan akan terus dikembangkan agar lebih ramai pelajar asnaf dapat dibantu”

“Kami mahu memastikan pelajar UMT cemerlang tanpa dibebani oleh masalah kewangan”

Sementara itu, penerima manfaat zakat, Nur Najmil Basyirah Ramli,20, berasa lega setelah dimaklumkan sebagai penerima bantuan zakat.

“Banyak perbelanjaan untuk membeli keperluan untuk pendaftaran masuk ke universiti. Dengan adanya bantuan ini, saya rasa lega dan boleh giunakan duit tersebut untuk membeli keperluan untuk memulakan kehidupan di kampus”. Ujarnya yang juga terpilih untuk mengikuti program Sarjana Muda Pengurusan Maritim di UMT.

Majlis Penyampaian Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas itu turut dihadiri oleh wakil-wakil agensi korporat yang menyumbang kepada dana zakat tersebut.

Selaras dengan hasrat kerajaan bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir untuk mendapatkan pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) dan UMT menawarkan pelbagai bentuk bantuan khas untuk golongan memerlukan.

Terdahulu, dalam majlis ikrar pelajar sesi kemasukan 2024/2025, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri mengingatkan para pelajar agar dapat menjaga tatasusila sebagai seorang mahasiswa yang mempunyai kualiti dan nilai jati diri yang tinggi.

“Sebagai mahasiswa adalah menjadi tanggungjawab dalam memenuhi kewajipan mematuhi akta, perlembagaan, statut, peraturan dan tatatertib yang berkuatkuasa di universiti ini. Namun, ia bukanlah bertujuan menyekat kebebasan dan langkah anda sebagai seorang pelajar.

“Penuntut universiti semestinya semua perkara hendaklah dilakukan secara berdisiplin. Hanya pelajar yang berdisiplin yang akan mampu menguruskan kehidupannya dengan baik,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast