Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas berputih mata selepas ditipu RM400,000 dalam satu pelaburan dalam Facebook yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima satu laporan polis dibuat mangsa, 60, mendakwa menjadi mengsa penipuan pelaburan ‘dimensional’ dalam Facebook.

“Semuanya bermula apabila mangsa tertarik dengan pelaburan itu selepas melihatnya dalam Facebook kira-kira pukul 3 petang, pada 20 Mei lalu, sebelum meninggalkan nombor telefon.

“Mangsa kemudian dihubungi seorang individu bernama ‘Vincent’ menggunakan talian 014-790 4658 yang menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 10 peratus dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh modal dilaburkan,,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.

Katanya, mangsa yang tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan memberikan butiran akaun CIMB miliknya bagi urusan transaksi wang keluar masuk.

Beliau memberitahu, ini termasuk deposit membuka satu akaun atas nama Artisan Partners bagi memulakan pembelajaran dalam pelaburan saham Itu.

Mangsa juga, ujarnya, melakukan 30 transaksi ke tujuh akaun berbeza yang diberikan bermula 25 Julai lalu hingga 2 Oktober lalu dengan jumlah keseluruhan modal sebanyak RM461,900.

Menurut beliau, sepanjang tempoh pelaburan, mangsa menerima pulangan sebanyak RM55,246 sahaja.

Kata Balveer Singh, mangsa cuba menuntut hasil keuntungan tetapi taliannya disekat oleh ‘Vincent’ menyebabkan mangsa syak dirinya ditipu sehingga mengalami kerugian RM406,654.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu. Siasatan juga akan meliputi pembabitan ‘keldai akaun’ jika ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terlibat,” jelasnya.

Pada masa sama, Balveer Singh menasihati orang ramai supaya lebih cakna dengan tren semasa jenayah komersial bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan.

“Masyarakat juga dinasihati supaya tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pelaburan atau pekerjaan atas talian yang menjanjikan kaedah yang mudah serta komisen yang tinggi,” katanya.

Beliau mengingatkan supaya orang ramai menggunakan perkhidmatan dalam talian yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) seperti Semak Mule, CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599, CCID Infoline, Facebook JSJK PDRM dan

Facebook BSJK PDRM serta Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi mendapatkan sebarang maklumat berkaitan jenayah komersial sebelum membuat sebarang transaksi bayaran kepada pihak lain.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here